Categories
PBT SELANGOR

MBSA sedia bantuan makanan untuk pekerja hotel, industri seni

SHAH ALAM, 24 JUN: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyediakan 2,000 pek makanan lagi bagi membantu golongan terjejas akibat pandemik Covid-19.

Timbalan Datuk Bandar Mohd Rashidi Ruslan berkata bantuan disasarkan kepada beberapa kumpulan antaranya pekerja hotel dan pusat asuhan serta pemain industri seni kreatif.

“Sepanjang pandemik ini mereka tidak dapat bekerja seperti biasa menyebabkan pendapatan terjejas. Kita akan serahkan bantuan bermula minggu depan,” katanya ketika ditemui di pusat pemberian vaksin (PPV) Dewan Besar Tanjung MBSA Seksyen 19 hari ini.

Terdahulu MBSA menyumbang bantuan makanan berisi makanan asas antaranya tepung gandum, minyak masak, gula dan beras bernilai RM50 kepada 40 petugas PPV terbabit.

Mohd Rashidi berkata ia adalah inisiatif pihaknya bagi menghargai komitmen dan kesungguhan kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor yang komited menjalankan tugas menangani wabak Covid-19.

“Bantuan ini merupakan kesinambungan matlamat pembangunan mampan melalui pendekatan ‘tiada yang tertinggal’ dalam aspek pembangunan sosial, ekonomi, kelaparan, kesihatan dan keadilan sosial.

“Diharap masyarakat terus memberi sokongan terhadap usaha murni ini sekali gus membantu Shah Alam menjadi bandar raya pintar, berdaya huni dan berdaya saing menjelang 2035,” katanya.

Sejak Februari lalu, MBSA telah menyumbang lebih 4,000 bantuan makanan kepada golongan terkesan selain petugas barisan hadapan.