Categories
AGENDA NASIONAL

Pakar: Elak agihan vaksin sama rata semua negeri, fokus Lembah Klang

SHAH ALAM, 12 JUN: Pakar virologi menyarankan kerajaan ubah strategi pemberian vaksin Covid-19 dengan menumpukan kawasan mencatat kes tinggi serta populasi penduduk ramai seperti Selangor dan Kuala Lumpur.

Prof Dr Sazaly Abu Bakar berkata strategi digunakan ketika ini terlalu pasif, menyebabkan pemberian vaksin dilihat tidak membantu menghalang jangkitan daripada terus merebak, lapor Berita Harian.

“Kalau kita mahu fokus untuk mengurangkan penularan virus, kita patut tumpukan pemberian vaksin di Lembah Klang yang mencatat kes tinggi setiap hari.

“Tapi kita lihat pembahagian vaksin adalah sama rata antara kebanyakan negeri sedangkan kepadatan penduduk berbeza, seperti Kuala Lumpur dan Selangor yang memiliki kira-kira lapan juta penduduk.

“Sekarang saya tidak nampak vaksin digunakan untuk mengekang penularan virus, sebaliknya bergantung pada nasib siapa yang dapat, menyebabkan kadar kes positif masih tinggi,” katanya.

Dr Sazaly yang juga Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika berkata strategi pemberian vaksin secara aktif akan memastikan setiap individu di kawasan wabak diberikan vaksin.

“Contohnya jika wujud kluster baharu di Taman A, maka vaksin diberikan kepada penduduk di Taman A. Jadi satu keluarga akan diberikan vaksin.

“Kerajaan perlu perbaiki strategi pemberian vaksin. Saya tak nampak kelebihan jika hanya diberi kepada seorang saja dalam satu keluarga, khususnya di kawasan yang banyak kes,” katanya.