Categories
AGENDA NASIONAL

PKPS buka peluang jadi ejen, bantu jual hasil tani

SHAH ALAM, 21 JUN : Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) mempelawa orang ramai menyertai program Rakan Agro Prihatin Selangor (RAPS) sebagai ejen jualan.

Ketua Pegawai Eksekutif,  Dato’ Abdul Ghariff Ramin berkata ejen RAPS berpeluang menambah pendapatan dengan membantu pihaknya menjual lambakan komoditi petani dan pekebun kecil di negeri ini.

“Mereka yang dilantik sebagai ejen RAPS akan membantu PKPS memasarkan hasil pertanian dengan kaedah tersendiri dan berpeluang mendapat peratusan daripada hasil jualan.

“Hasil pertanian tersebut antaranya peria, cili, terung, tomato, jagung, kacang panjang, bayam, kangkung, pisang, nenas dan nangka membabitkan keluasan ladang lebih 320 ekar di seluruh Selangor,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata semua maklumat jualan serta kaedah pendaftaran akan dikongsikan di laman instagram rasmi PKPS iaitu myPKPS dan Facebook Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor.

“Program Agro Prihatin Selangor yang dilancar sejak 2 Jun berjaya membantu 26 petani dan pekebun kecil yang menghadapi masalah lambakan komoditi pertanian seberat 11.45 metrik tan bernilai RM24,602,” katanya.