Categories
AGENSI SELANGOR

Lebih 70 belia berminat sertai program jaminan bekalan makanan

AMPANG, 27 JULAI: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menerima 78 penyertaan daripada golongan belia yang ingin menyertai program jaminan bekalan makanan agropreneur.

Ketua pegawai eksekutif kumpulannya berkata program di bawah Pakej Kita Selangor 2.0 bermula pertengahan Ogos akan menyediakan tanah, modal pusingan dan bimbingan bagi menarik peserta terbabit untuk menjadi usahawan agro.

“Selain permohonan di bawah PKPS, Unit Perancang Ekonomi Negeri juga mempunyai senarai peserta dan akan digabungkan semuanya. Sesi pemilihan akan dibuat awal Ogos yang diputuskan EXCO industri asas tani (Ir Izham Hashim),” kata Dato’ Abdul Ghariff Ramin.

Beliau ditemui pada program sumbangan bakul makanan di Pangsapuri Merpati A, Jalan Pandan Indah yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di sini hari ini.

Program jaminan bekalan makanan antara 25 inisiatif Kerajaan Negeri dalam Pakej Kita Selangor 2.0 memfokus merancakkan sektor pertanian agro makanan, kecekapan rantaian bekalan dan melahirkan 1,000 agropreneur dalam lima tahun.

PKPS mencadangkan tanah Kerajaan Negeri di Bukit Changgang dijadikan projek perintis kepada agropreneur itu dengan purata satu ekar bagi setiap peserta.

Agensi itu juga akan menyediakan modal pusingan RM10 juta yang dikendalikan menerusi usahasama strategik bersama Agro Bank.

Categories
AGENSI SELANGOR

PKPS serah bantuan makanan kepada penduduk Mentari Court

PETALING JAYA, 1 JULAI: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menyerahkan 3,500 pek makanan kepada penduduk Mentari Court, PJS 8 yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) bermula hari ini.

Ketua pegawai eksekutifnya berkata bantuan berupa beras, tepung, gula, sardin, minyak masak dan serbuk teh itu dijangkakan mampu menampung keperluan penduduk selama dua minggu.

“Ini merupakan bantuan kedua untuk kawasan dikenakan PKPD. Awal bulan lalu kita serahkan lebih 1,000 pek makanan termasuk barangan basah untuk penduduk di Taman Pertama, Taman Serendah dan Taman Prima, Sabak Bernam.

“PKPS bersedia menghulurkan bantuan ke kawasan PKPD lain sekiranya mendapat arahan daripada Kerajaan Selangor. Kita akan membantu penduduk terkesan sebaik mungkin,” kata Dato’ Abdul Ghariff Ramin.

Beliau ditemui selepas menyerahkan bantuan makanan terbabit kepada Pegawai Daerah Petaling, Dato’ Johary Anuar.

Selain Mentari Court, kerajaan juga mengenakan PKPD di Taman Perumahan SS 91A, Sungai Way dan Pangsapuri Westlite – PKNS selama 14 hari bermula hari ini.

Perintah itu dibuat selepas kadar jangkitan Covid-19 yang tinggi dikesan di ketiga-tiga kawasan berkenaan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pusat Arahan Berpusat ditubuh bantu petani terjejas

SHAH ALAM, 21 JUN : Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menubuhkan Pusat Kawalan Berpusat (CCC) untuk menangani isu lambakan komoditi pertanian di beberapa daerah di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif, Dato’ Abdul Ghariff Ramin berkata petani terjejas boleh menghubungi talian khas CCC, 019-316 2400 atau emel [email protected]  untuk membuat aduan.

“CCC bertempat di Wisma PKPS memastikan aduan petani diproses segera. Petugas CCC akan memeriksa kesahihan laporan sebelum Kumpulan Tindakan Krisis (CAT) turun padang membuat pemeriksaan dan membeli hasil tani.

“Setakat ini pihak kami menerima 70 aduan membabitkan petani terkesan di Sabak Bernam, Hulu Selangor, Kuala Selangor, Klang dan Sepang,” katanya menerusi kenyataan hari ini

Beliau berkata PKPS turut menubuhkan Jawatankuasa Penentuan Harga Belian bagi memastikan petani mendapat pulangan munasabah serta pengguna membeli dengan harga berpatutan.

“Jawatankuasa Logistik pula ditubuh untuk menguruskan pengambilan, pengangkutan dan penghantaran semua komoditi pertanian dari ladang sehingga ke 11 pusat jualan,” katanya.

Lokasi tersebut adalah;

1) Pusat Jualan Wisma PKPS, Shah Alam
2) Pusat Jualan Holysmoke Café, Seksyen 13 Shah Alam
3) Pusat Jualan Wisma Sidah, Seksyen 7 Shah Alam
4) Pusat Jualan Meru, Klang
5) Pusat Jualan Agrosel Kota Raja, Klang
6) Pusat Jualan Selangor Fruit Valley, Bestari Jaya
7) Pusat Jualan Agrosel Bangi, Bangi
8) Pusat Jualan Agrosel Pandan
9) Pusat Jualan FAMA Puchong
10)Pusat Jualan FAMA Dengkil
11)Pusat Jualan Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan

Categories
AGENDA NASIONAL

PKPS buka peluang jadi ejen, bantu jual hasil tani

SHAH ALAM, 21 JUN : Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) mempelawa orang ramai menyertai program Rakan Agro Prihatin Selangor (RAPS) sebagai ejen jualan.

Ketua Pegawai Eksekutif,  Dato’ Abdul Ghariff Ramin berkata ejen RAPS berpeluang menambah pendapatan dengan membantu pihaknya menjual lambakan komoditi petani dan pekebun kecil di negeri ini.

“Mereka yang dilantik sebagai ejen RAPS akan membantu PKPS memasarkan hasil pertanian dengan kaedah tersendiri dan berpeluang mendapat peratusan daripada hasil jualan.

“Hasil pertanian tersebut antaranya peria, cili, terung, tomato, jagung, kacang panjang, bayam, kangkung, pisang, nenas dan nangka membabitkan keluasan ladang lebih 320 ekar di seluruh Selangor,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata semua maklumat jualan serta kaedah pendaftaran akan dikongsikan di laman instagram rasmi PKPS iaitu myPKPS dan Facebook Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor.

“Program Agro Prihatin Selangor yang dilancar sejak 2 Jun berjaya membantu 26 petani dan pekebun kecil yang menghadapi masalah lambakan komoditi pertanian seberat 11.45 metrik tan bernilai RM24,602,” katanya.