Categories
AGENSI SELANGOR

Program vaksin warga emas, OKU dijangka selesai minggu depan

SHAH ALAM, 24 JUN: Program ‘outreach’ vaksinasi Covid-19 dos pertama di rumah jagaan warga emas dan golongan orang kelainan upaya (OKU) negeri ini dijangka selesai minggu hadapan.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor berkata pihaknya akan menumpukan suntikan imunisasi kepada golongan terlantar selepas ini.

“Kita akan kenal pasti (individu terlantar) dan akan usahakan untuk beri vaksin. Untuk program ini, sebanyak 17 pasukan akan digerakkan,” kata Datuk Dr Sha’ari Ngadiman hari ini.

Terdahulu beliau menghadiri majlis serahan bakul makanan Majlis Bandaraya Shah Alam kepada 40 petugas pusat pemberian vaksin (PPV) Dewan Besar Tanjung MBSA Seksyen 19.

Program ‘outreach’ berkenaan berjalan sejak 8 Jun lalu dan ditawarkan kepada pusat jagaan kerajaan atau Jabatan Kesihatan Malaysia, pusat jagaan berlesen Akta 506 dan Akta 586 serta pusat swasta tidak berlesen.

Mengikut jadual dikongsikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Facebook, program berperingkat itu melibatkan 1,893 individu termasuk kakitangan dari 68 pusat jagaan yang bersetuju divaksin.