Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Pusat vaksin bergerak Morib suntik lebih 20 warga emas terlantar

SHAH ALAM, 21 JUN: Seramai 27 individu terlantar sakit di Dewan Undangan Negeri (DUN) Morib menerima suntikan imunisasi Covid-19 dari pusat pemberian vaksin (PPV) bergerak kelmarin.

Ahli Dewan Negeri Hasnul Baharuddin berkata majoriti penerima merupakan warga emas yang tidak mampu berjalan, terlantar dan perlu dibantu.

“Sepatutnya 29 individu terima suntikan namun dua darinya tidak sihat dan terpaksa ditangguh. Ada juga penerima merupakan orang muda yang terlantar akibat kemalangan.

“Proses suntikan agak rumit kerana penerima perlu didaftarkan dahulu selain faktor kesihatan diambil kira. Semua penerima setuju disuntik,” katanya kepada SelangorKini.

Timbalan speaker Dewan Negeri Selangor berkata PPV menggunakan kenderaan pacuan empat roda itu mempunyai dua pasukan bagi memastikan proses berjalan lancar.

“Seorang doktor pakar juga turut menyertai pasukan ini. Penerima terpilih disenaraikan oleh pusat khidmat dan ketua kampung,” katanya.

PPV bergerak merupakan yang pertama di negeri ini bagi membantu mempercepat usaha mencapai imuniti kelompok.

Kenderaan yang disediakan hasil kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Langat dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) DUN terbabit.