Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Yawas pelawa OKU layak syarat mohon bantuan RM500

SHAH ALAM, 16 JUN: Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) mempelawa golongan orang kelainan upaya (OKU) yang layak untuk memohon bantuan RM500 yang diumum menerusi Pakej Kita Selangor 2.0 bermula 1 Julai ini.

Pengurus besarnya berkata peruntukan RM500,000 disalurkan bagi membantu OKU terkesan akibat Covid-19 dengan 1,200 OKU di Selangor dijangka menerima manfaat.

Katanya, permohonan bantuan itu adalah percuma kepada warga OKU berumur 18 tahun ke atas dengan pendapatan isi rumah RM3,000 ke bawah.

“Sasaran pemohon yang layak akan diutamakan kepada warga OKU yang kehilangan pekerjaan, pemotongan gaji dan kehilangan sumber pendapatan bagi mereka yang berniaga atau bekerja sendiri.

“Diharapkan bantuan ini sedikit sebanyak membantu mengurangkan beban hidup warga OKU dalam keadaan pandemik,” kata Gan Pei Nei menerusi kenyataan.

Pemohon yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut di laman sesawang www.anisselangor.com/bantuanOKU dan boleh menghubungi Yawas di talian 018 – 256 7093 dan 018 -235 6213 untuk sebarang pertanyaan.

Maklumat terkini tentang Bantuan Khas RM500 OKU akan sentiasa dikemaskini menerusi laman Facebook Yayasan Warisan Anak Selangor – Yawas.