Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Yawas pelawa OKU layak syarat mohon bantuan RM500

SHAH ALAM, 16 JUN: Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) mempelawa golongan orang kelainan upaya (OKU) yang layak untuk memohon bantuan RM500 yang diumum menerusi Pakej Kita Selangor 2.0 bermula 1 Julai ini.

Pengurus besarnya berkata peruntukan RM500,000 disalurkan bagi membantu OKU terkesan akibat Covid-19 dengan 1,200 OKU di Selangor dijangka menerima manfaat.

Katanya, permohonan bantuan itu adalah percuma kepada warga OKU berumur 18 tahun ke atas dengan pendapatan isi rumah RM3,000 ke bawah.

“Sasaran pemohon yang layak akan diutamakan kepada warga OKU yang kehilangan pekerjaan, pemotongan gaji dan kehilangan sumber pendapatan bagi mereka yang berniaga atau bekerja sendiri.

“Diharapkan bantuan ini sedikit sebanyak membantu mengurangkan beban hidup warga OKU dalam keadaan pandemik,” kata Gan Pei Nei menerusi kenyataan.

Pemohon yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut di laman sesawang www.anisselangor.com/bantuanOKU dan boleh menghubungi Yawas di talian 018 – 256 7093 dan 018 -235 6213 untuk sebarang pertanyaan.

Maklumat terkini tentang Bantuan Khas RM500 OKU akan sentiasa dikemaskini menerusi laman Facebook Yayasan Warisan Anak Selangor – Yawas.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Lebih 20,000 ahli Tawas terima bantuan masuk sekolah

SHAH ALAM, 5 APRIL: Seramai 21,432 ahli Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas) lahir pada 2014 mendapat manfaat menerusi program bantuan masuk sekolah tahun ini.

Unit Perhubungan Awam, Pengurusan Acara dan Multimedia Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) berkata bantuan meliputi beg sekolah, alat tulis, botol air, bekas makanan, cecair pembasmi kuman serta pelitup muka.

“Pemberian dibuat melalui pusat khidmat masyarakat di 56 Dewan Undangan Negeri seluruh negeri sejak 1 November tahun lepas sehingga 31 Mac baru-baru ini.

“Bantuan hanya diberikan kepada mereka yang berdaftar dan memasuki darjah satu bagi sesi persekolahan tahun ini,” kata Muhammad Khafiz Asari kepada SelangorKini.

Beliau berkata ibu bapa dan penjaga murid terbabit menghargai inisiatif Kerajaan Negeri yang mampu meringankan beban terutama dalam tempoh pandemik Covid-19.

“Maklum balas ibu bapa sangat memberangsangkan dan mereka berterima kasih kepada Kerajaan Selangor selain berharap inisiatif sama diteruskan serta ditambah baik pada masa depan,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Ahli Tawas 2008 terima cecair basmi kuman, pelitup muka mulai Disember

SHAH ALAM, 23 NOV: Seramai 21,346 ahli Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas) lahir pada 2008 menerima peralatan mencegah penularan wabak, iSafe mulai Disember ini.

Penolong pengurus korporat Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) berkata alat berkenaan mengandungi pelitup muka dan cecair pembasmi kuman.

“Pemberian melalui Pusat Khidmat Masyarakat di setiap Dewan Undangan Negeri dan hanya diberikan kepada yang berdaftar.

“Langkah ini juga merupakan kempen kesedaran kepada anak-anak dalam mendepani pandemik Covid-19,” kata Sharizan Mohd Shariff kepada SelangorKini hari ini.

Categories
SELANGOR

Lebih 14,000 Telah Mendapat Manfaat Jom Shopping Bonus Selangorku

Bonus Selangorku Puncak Alam 02

PUNCAK ALAM 15 DIS : Sejak diperkenalkan pada April lalu, lebih 14,000 kanak-kanak yang lahir pada tahun 2008 di Selangor sudah menikmati manfaat program ‘Jom Shopping Bonus Selangorku’.

Program tersebut dikhususkan kepada peserta Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) yang menerima baucer membeli-belah bernilai RM 100 ketika menyambut ulang tahun kelahiran mereka.

Sehingga kini, RM 1.4 juta telah dibelanjakan untuk menjayakan inisiatif ini di bawah agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

Petang tadi, bertempat di Econsave Alam Jaya di sini, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyempurnakan upacara penutupan program ‘Jom Shopping Bonus Selangorku’ yang disertai 181 peserta TAWAS dari DUN Ijok dan DUN Jeram.

“Ini bukanlah bermakna program ini akan tamat terus sebaliknya kita menutup program untuk tahun ini sahaja.

“‘Jom Shopping Bonus Selangorku’ tetap akan diteruskan lagi selagi Pakatan Rakyat memerintah untuk memberi manfaat kepada anak-anak Selangor,” kata Abdul Khalid yang juga Adun Ijok.Bonus Selangorku Puncak Alam 01

Dalam pada itu, beliau yang menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke 66 semalam turut dikejutkan dengan hadiah kek harijadi dari kakitangan Yayasan Anak Warisan Selangor (YAWAS).

Sejurus selesai upacara memotong kek, Abdul Khalid juga berkesempatan menemani para peserta Tawas yang hadir untuk membeli belah bersama ibu bapa atau penjaga masing-masing.

Turut hadir ialah isteri beliau, Puan Sri Salbiah Tunut, Pengurus Besar YAWAS, Mohd Nor Mohd Zin serta Yang Di Pertua Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Noraini Roslan.