Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

90 peratus penduduk Kajang dijangka lengkap dos vaksin pada September

KAJANG 26 JULAI: Sebanyak 90 peratus penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang dijangka lengkap menerima dua dos suntikan vaksin September depan.

Wakil rakyatnya Hee Loy Sian berkata peratusan itu melibatkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan Selangor Vaksin (Selvax).

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang Hee Loy Sian

“Setakat ini, jumlah individu yang menerima dua dos vaksin lebih 30 peratus dan agak tinggi kerana terdapat beberapa pusat pemberian vaksin (PPV) yang membantu meningkatkan proses vaksinasi.

“Individu yang belum menerima tarikh janji temu vaksin di aplikasi MySejahtera disaran segera membuat permohonan menerusi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah),” katanya pada program Selvax DUN Kajang di Dewan Seri Cempaka hari ini.

Loy Sian juga menyarankan supaya masyarakat tidak memilih jenis vaksin Covid-19 yang diberikan kepada mereka.

“Semua perlu mengambil peluang dan jangan memilih kerana setiap vaksin mendapat pengiktirafan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),” katanya.

Pada 30 Jun, Kerajaan Selangor melancarkan Selvax Komuniti dan Selvax Industri bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian rakyat negeri ini.

Program itu bakal memanfaatkan 1.25 juta penduduk di Selangor yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas dan pekerja industri.