Categories
AGENDA NASIONAL

Amalan membaca mampu kurangkan tekanan, rasa sengsara

KUALA LUMPUR, 15 JULAI: Amalan membaca mampu mengurangkan tekanan dan rasa sengsara akibat masalah dalam kehidupan, kata penulis Dr Raja Rajeswari Seetha Raman.

Beliau berkata amalan mulia itu adalah satu bentuk terapi minda dan eskapisme, selain dapat meluaskan horizon pemikiran.

Menurutnya terdapat kajian yang membuktikan tekanan individu dapat dikurangkan dengan membaca menerusi penghayatan terhadap sesuatu naskah.

“Setiap buku ada kisah, watak dan latar tersendiri jadi kita akan lebih memahami dan menghayati (seolah-olah) kita berada dalam kisah mereka. Semua ini akan memberi pengajaran secara tidak langsung untuk mengharungi cabaran dalam kehidupan kita.

“Seperti menonton filem, banyak mesej yang disampaikan secara tersirat melalui pembacaan,” katanya ketika menjadi ahli panel bagi Program Pencinta Buku sempena Program Negara Membaca Siri 2 yang disiarkan secara langsung di YouTube Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) hari ini.

Program tersebut dianjurkan PNM dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

– BERNAMA