Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Harapan selalu ada, segera dapatkan bantuan jika alami tekanan

Wabak Covid-19 yang berlarutan sejak Mac tahun lalu mencetuskan pelbagai tekanan kepada seseorang, sama ada masalah pertukaran rutin hidup, hubungan dalam rumah tangga atau kehilangan pendapatan.

Situasi itu menimbulkan tekanan, sama ada ringan atau berat, kepada pelbagai golongan hingga mendatangkan gejala kemurungan yang serius. Wartawan AFIX RDZUAN menyusun maklumat berkaitan isu kesihatan mental agar kesan negatifnya dapat dikurangkan.

Masalah berbangkit
(panggilan telefon antara 25 Mac hingga 19 Oktober 2020)

  • 50 peratus perlu sokongan emosi dan kaunseling (akibat tekanan, bimbang, marah dan murung)
  • 14.7 peratus mahu maklumat Covid-19
  • 8.8 peratus keganasan rumah tangga
  • 6.8 peratus keperluan asas dan bantuan kewangan
  • 2.2 peratus masalah psikiatri
  • 1.1 peratus isu kesihatan lain

Cara jaga kesihatan mental

  • rehat seketika
  • kongsi perasaan dengan orang yang anda percaya
  • bertenang dan amal teknik kerehatan diri
  • beribadat dan aktiviti kerohanian
  • berfikiran positif
  • beriadah atau bersenam

Jika berdepan masalah, amalkan ‘TALK’

  • T (tell) kongsi masalah dengan orang yang dipercayai
  • A (ask) minta bantuan seseorang
  • L (listen) dengar masalah tanpa menghukum pengadu
  • K (know) tahu di mana dapatkan bantuan

Bagaimana dapatkan bantuan sokongan?

  • rujuk pegawai perubatan dan temui pegawai kerja sosial perubatan di klinik kesihatan
  • pegawai kerja sosial perubatan akan melakukan penilaian biopsikososial untuk:

> kenal pasti masalah
> tentukan kesesuaian bantuan
> lawat ke tempat tinggal (jika perlu)

Dapatkan bantuan di sini

  • Pusat Kesihatan Mental Masyarakat (Mentari) Selayang: 03-6127 0946
  • Mentari hospital Klang: 03-3375 7000 sambungan 1302 atau 03-3370 1046 sambungan 107 atau 104
  • Mentari Sungai Buloh: 03-6140 2364
  • Pusat Kaunseling Selangor (Talian Sahabat): 03-5521 2363
  • Sokongan psikososial di Klinik Kesihatan Bandar Botanic, Klang: 03-3324 4260
  • Sokongan psikososial di Klinik Kesihatan Kajang: 03-8739 5764

*Sumber*

  • Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial, 21 Oktober 2020
  • Infografik portal infosihat.gov.my, tanpa tarikh
  • Infografik portal infosihat.gov.my, 20 Oktober 2020
  • Portal Myhealth.gov.my 19 April 2016
  • Facebook Hospital Sentosa, 18 Mac 2021
Categories
AGENDA NASIONAL

Amalan membaca mampu kurangkan tekanan, rasa sengsara

KUALA LUMPUR, 15 JULAI: Amalan membaca mampu mengurangkan tekanan dan rasa sengsara akibat masalah dalam kehidupan, kata penulis Dr Raja Rajeswari Seetha Raman.

Beliau berkata amalan mulia itu adalah satu bentuk terapi minda dan eskapisme, selain dapat meluaskan horizon pemikiran.

Menurutnya terdapat kajian yang membuktikan tekanan individu dapat dikurangkan dengan membaca menerusi penghayatan terhadap sesuatu naskah.

“Setiap buku ada kisah, watak dan latar tersendiri jadi kita akan lebih memahami dan menghayati (seolah-olah) kita berada dalam kisah mereka. Semua ini akan memberi pengajaran secara tidak langsung untuk mengharungi cabaran dalam kehidupan kita.

“Seperti menonton filem, banyak mesej yang disampaikan secara tersirat melalui pembacaan,” katanya ketika menjadi ahli panel bagi Program Pencinta Buku sempena Program Negara Membaca Siri 2 yang disiarkan secara langsung di YouTube Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) hari ini.

Program tersebut dianjurkan PNM dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

4,969 panggilan mengadu tekanan emosi semasa PKP – KKM

SHAH ALAM, 3 JUN: Kementerian Kesihatan (KKM) menerima 4,969 panggilan berkaitan masalah tekanan emosi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata sehingga kini jumlah keseluruhan panggilan ialah 9,938 dan panggilan kedua tertinggi disebabkan kehilangan pekerjaan dan tiada punca pendapatan.

“Sementara tujuh peratus aduan berkaitan masalah rumah tangga seperti keganasan dan baki aduan ialah berkaitan ketakutan akibat Covid-19 dan bantuan kewangan.

“Seramai 148 pegawai psikologi kaunseling KKM bersedia menerima panggilan daripada orang awam, kami menggalakkan masyarakat menggunakan perkhidmatan kesihatan mental ini secara dalam talian juga,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Sebelum ini KKM dengan kerjasama Medical Relief Society (MERCY Malaysia) menyediakan perkhidmatan sokongan psikososial kepada rakyat Malaysia.

Semua petugas barisan hadapan dan individu yang terkesan emosi akibat Covid-19 boleh menghubungi talian 011-63996482, 011-63994236 atau 03-29359935.

Waktu operasi perkhidmatan ini bermula dari 8 pagi hingga 5 petang setiap hari.

Categories
NASIONAL

Tekanan kerja punca golongan bijak pandai menagih dadah

KUALA LUMPUR, 6 JUN: Sukar untuk dipercayai seorang doktor perubatan boleh tewas dan terjerumus ke lembah penagihan dadah untuk tempoh yang lama, semuanya bermula dengan sekadar mencari cara untuk meredakan tekanan kerja.

Ia bermula sembilan tahun lepas apabila Dr Sasitharan Ayanai, 39, lulusan perubatan dari Rusia, menjalani latihan amali ‘housemanship’ di sebuah hospital kerajaan di Johor Bahru, Johor.

Syif kerja yang panjang, adakala sehingga 48 jam tanpa rehat, membuatkan anak kelahiran Seremban, Negeri Sembilan itu nekad mencuba dadah jenis syabu bagi memberikannya tenaga dan menghilangkan penat.

“Ketika itu saya stres dan pada masa sama saya terdedah dengan syabu…ia menjadi ‘booster’ (penggalak) untuk saya ketika perlu bekerja untuk jangka waktu panjang…saya hanya mahukan tenaga, itu sahaja.

“Pada fikiran saya ketika itu saya tidak mungkin akan ketagih…saya ingatkan sebagai doktor saya boleh kawal diri tetapi saya silap kerana secara perlahan-lahan saya menjadi penagih tegar,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Rumah Pengasih di sini.

Beliau yang kini adalah ‘house doctor’ di pusat rawatan itu berkata, pada pertengahan 2016 iaitu kira-kira enam tahun selepas terjebak dengan najis dadah, beliau secara rela hati mendaftar diri ke Rumah Pengasih kerana menyedari dirinya sudah terpesong jauh dan mahu memperbaiki kesilapannya.

“Namun pada 2017 saya meninggalkan Pengasih kerana bapa sakit dan apabila keluar, sukar untuk saya menyesuaikan diri dan akhirnya selepas enam bulan saya ‘relapsed’, kembali menagih dadah…ditambah tertekan dengan hinaan daripada saudara-mara.

“Sejak dua bulan lalu saya kembali ke sini kerana sedar saya memerlukan pertolongan dan sistem sokongan…saya masih menjalani rawatan dan pemerhatian rumah Pengasih bagi memastikan kali ini saya tidak akan kecundang lagi,” katanya dan menambah syabu membuatkannya panas baran dan hidupnya menjadi kucar-kacir hinggakan beliau membatalkan perkahwinannya 20 hari sebelum majlis berlangsung.

Dalam pada itu, Presiden Pengasih Ramli Abd Samad berkata tanggapan bahawa pengguna dadah terdiri daripada mereka yang keciciran sekolah dan bermasalah sosial semata-mata adalah silap kerana ramai penagih kini daripada golongan bijak pandai dan profesional.

“Dahulu dadah digunakan untuk rekreasi, untuk ‘enjoy’ dan khayal seperti di kelab malam, tetapi kini ramai menggunakannya untuk tujuan kerja, untuk keyakinan ketika menyampaikan pembentangan…ini kerana dadah moden kini memberikan konsentrasi dan juga tenaga,” katanya.

Katanya, iklan dan kempen antidadah yang berkonsep ‘konon-konon’ menakut-nakutkan orang ramai juga tidak lagi relevan dan ketinggalan zaman kerana tidak mempamerkan realiti penagihan dadah pada zaman sekarang.

“Iklan di televisyen misalnya membosankan, tidak menarik hati untuk ditonton dan jalan cerita juga tidak ‘real’…ia tidak berkesan untuk beri kesedaran kerana hakikatnya ia tidak menimbulkan rasa takut.

“Kempen perlu mengikut peredaran zaman…kini seseorang tidak perlu menyuntik dirinya untuk menagih dadah…kempen perlu ‘up to date’ dan beritahu kebenaran tentang dadah,” katanya.

Ramli berkata, Malaysia juga tidak mempunyai sebarang talian bantuan khas bagi memberi khidmat sokongan dan nasihat kepada mereka yang cuba mencari jalan keluar daripada penagihan.

“Tidak seperti masalah atau isu lain yang mempunyai ‘dedicated helpline’, misalnya masalah kemurungan dan penderaan…penagih dadah pula tidak mempunyai sistem sokongan seperti itu…mereka yang mahu berubah terkial-kial kerana tidak punya sistem sokongan yang kuat daripada keluarga dan masyarakat, malahan tiada siapa mahu membantu mereka.

“Keadaan semakin meruncing dan pengguna dadah sekarang semakin berbahaya dan ganas… kelompongan sistem sokongan di negara ini terhadap penagih dadah adalah sesuatu yang perlu dilihat secara serius sekiranya kita mahu memerangi najis dadah,” katanya.

– BERNAMA