Categories
AGENDA NASIONAL

Program pemulihan khas pastikan semua murid Tahap Satu kuasai 3M

SHAH ALAM, 9 NOV: Kementerian Pendidikan (KPM) melaksanakan beberapa langkah bagi memastikan pelajar khususnya murid Tahap Satu yang tidak dapat mengikuti kaedah pembelajaran secara dalam talian, menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) dengan lebih baik.

Timbalan menteri pendidikan Datuk Dr Mah Hang Soon berkata antara lain, KPM sudah melaksanakan program pemulihan khas bagi murid sekolah rendah supaya masalah menguasai kemahiran asas 3M diatasi, lapor Berita Harian.

“Guru pemulihan dengan kerjasama guru subjek Bahasa Melayu dan Matematik, memberi bimbingan bersesuaian kepada murid hingga mereka dapat menguasai kemahiran asas 3M.

“Kemahiran 3M adalah aspek yang diberi penekanan dalam pendidikan murid di Tahap Satu, iaitu Tahun Satu, Dua dan Tiga,” katanya pada sesi lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Rohani Abdul Karim (GPS-Batang Lupar) mengenai langkah diambil dan pemantauan KPM bagi memastikan murid tidak dapat mengikuti kaedah pembelajaran secara dalam talian untuk menguasai kemahiran 3M dengan lebih baik.

Categories
AGENDA NASIONAL

Amalan membaca mampu kurangkan tekanan, rasa sengsara

KUALA LUMPUR, 15 JULAI: Amalan membaca mampu mengurangkan tekanan dan rasa sengsara akibat masalah dalam kehidupan, kata penulis Dr Raja Rajeswari Seetha Raman.

Beliau berkata amalan mulia itu adalah satu bentuk terapi minda dan eskapisme, selain dapat meluaskan horizon pemikiran.

Menurutnya terdapat kajian yang membuktikan tekanan individu dapat dikurangkan dengan membaca menerusi penghayatan terhadap sesuatu naskah.

“Setiap buku ada kisah, watak dan latar tersendiri jadi kita akan lebih memahami dan menghayati (seolah-olah) kita berada dalam kisah mereka. Semua ini akan memberi pengajaran secara tidak langsung untuk mengharungi cabaran dalam kehidupan kita.

“Seperti menonton filem, banyak mesej yang disampaikan secara tersirat melalui pembacaan,” katanya ketika menjadi ahli panel bagi Program Pencinta Buku sempena Program Negara Membaca Siri 2 yang disiarkan secara langsung di YouTube Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) hari ini.

Program tersebut dianjurkan PNM dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA PILIHAN MINGGUAN

MB: Lebih banyak karya agung diterjemah ke bahasa Melayu

SHAH ALAM, 1 MAC: Penterjemahan buku ke bahasa Melayu diteruskan pada tahun ini dengan diberi peruntukan untuk usaha itu, kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dato’ Menteri Besar berkata ia sebagai sokongan kepada perkembangan industri buku tempatan.

“Saya percaya ia mampu mengujakan dan meningkatkan kemahuan masyarakat serta komuniti Melayu khususnya untuk membaca karya serta pemikiran besar yang mampu mencorak, mendidik serta membentuk masyarakat bersedia bertarung di peringkat antarabangsa,” katanya pada perasmian Pesta Buku Selangor 2020 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) hari ini.

Beliau berkata, perkembangan buku audio terutama untuk karya agung dapat membantu rakyat yang kekurangan masa membaca naskah dicetak malah bermanfaat kepada pelajar audio (audio lerner).

Amirudin berkata format ini turut memberi peluang kepada golongan orang kelainan upaya (OKU) penglihatan menambah ilmu pengetahuan.

Katanya, setakat ini sebanyak 27 naskah terjemahan sudah diterbitkan Institut Buku Darul Ehsan (IBDE) dan ia bakal teruskan bagi pembudayaan ilmu.

Categories
NASIONAL

Sudut bacaan di tempat awam bakal diwujud semarakkan budaya membaca

KLUANG, 15 DIS: Kementerian Pendidikan merancang mewujudkan sudut bacaan di tempat awam seperti di stesen minyak dan restoran makanan segera di negara ini bagi menyemarakkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat.

Menterinya Dr Maszlee Malik berkata perbincangan dengan pemilik stesen minyak dan rangkaian restoran makanan segera akan dilakukan, namun ia masih di peringkat perancangan lagi.

Kata beliau, ia juga sebagai usaha pihak kementerian untuk menyokong kempen menjadikan Malaysia Negara Membaca menjelang tahun 2030.

“Orang ramai akan dapat memanfaatkan hentian rehat mereka di stesen-stesen minyak dan restoran makan segera ini, pengguna turut boleh memanfaatkan masa tersebut dengan membaca sekiranya sudut bacaan ini diwujudkan.

“Apa yang penting kita hendak menggalakkan dan menyemarakkan budaya membaca ini. Mungkin buat permulaan ini, restoran-restoran makanan segera di bawah Johor Corporation (JCorp) di Simpang Renggam ini boleh mulakan dahulu,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

 

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Jalinan Ukhuwah Sempena 50 Tahun Johor Corporation di Dewan Muafakat Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR) yang turut dihadiri oleh Presiden dan Ketua Eksekutif Jcorp, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim.

Maszlee yang juga Anggota Parlimen Simpang Renggam itu, juga menggalakkan aktiviti mewakafkan bahan bacaan berkenaan sekiranya program yang dirancang ini berjaya dilaksanakan.

Khamis lepas, Maszlee berkata pihaknya menyasarkan 10 tahun bermula 2021 sebagai Dekad Membaca Kebangsaan sebagai usaha menjadikan Malaysia Negara Membaca.

Dalam program yang sama, Maszlee menyatakan pihak kementerian berkenaan juga akan melakukan kerjasama dengan JCorp membina sebuah sekolah berasrama penuh di atas tanah milik anak syarikat JCorp, Kulim Plantation Sdn Bhd (Kulim) di Renggam.

SUMBER: BERNAMA

Categories
SELANGOR

Exco: PPA seluruh Selangor lancar “Program Baca Bersama 10 Minit”

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM 3 APRIL: Perpustakaan Awam (PPA) di seluruh Selangor akan bersama-sama melancarkan “Program Baca Bersama untuk 10 Minit” yang akan diadakan di seluruh Malaysia bersempena sambutan Hari Buku dan Hakcipta Sedunia pada 22 April ini.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali, berkata program itu adalah sebahagian daripada gerakan membaca bagi membentuk masyarakat ke arah membudayakan minat membaca khususnya di negeri Selangor.

Dr HalimahBeliau berkata kesemua perpustakaan awam negeri bersetuju untuk melaksanakannya secara serentak pada 22 April ini bermula jam 10 hingga 10.10 pagi dengan konsepnya diilhamkan daripada sambutan Earth Hour.

“Kita mahu menggerakkan fenomena baru secara tidak sedar di mana anak-anak kecil boleh melihatkan orang bijak pandai dan semua pihak bersama-sama berhenti bersama dan membaca serentak.

“Kita harapkan Selangor capai seramai mungkin untuk direkodkan,” katanya dalam sidang media di Bangunan SUK, semalam.

Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) sebelum ini telah menjenamakan program gerakan membacanya bermula pada tahun 2010 bersempena dengan Hari Ilmu negeri Selangor pada 26 Jun 2010.

Program itu berjaya merekodkan seramai 13,271 rakyat membaca secara serentak selama 15 minit di persekitaran Tasik Shah Alam.

EZY