Categories
AGENSI SELANGOR

Amil kariah bantu daftar, percepat asnaf dapat vaksin

BUKIT BERUNTUNG, 23 JULAI: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menggerakkan amil kariah bagi membantu lebih 65,000 asnaf berdaftar di negeri ini mendapat suntikan vaksin Covid-19.

Ketua pegawai eksekutifnya berkata langkah terbabit dapat menghindar jangkitan wabak sekali gus mengurangkan risiko ekonomi golongan terbabit.

“Kita mahu pastikan asnaf ini mendapat vaksin secepat mungkin. Jika dijangkiti ia akan memberi kesan kepada ekonomi mereka sendiri.

“Sebab itu kita jalankan kempen dan minta amil daftarkan vaksinasi. Cara ini juga membantu pembentukan imuniti kelompok lebih cepat,” kata Saipolyazan M Yusop.

Terdahulu beliau melawat lapan beradik yang menjadi yatim piatu selepas ibu bapa mereka, Benyajeed Bernie, 45, dan Noraini Ibrahim, 43, yang merupakan asnaf berdaftar meninggal dunia akibat Covid-19 minggu lalu.

Sementara itu beliau berkata pihaknya menyediakan tiga kenderaan bagi memudahkan petugas Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) memberi suntikan imunisasi kepada penghuni 265 pusat kebajikan.

“Dalam masa sama kita turut menghulurkan bantuan kepada petugas pusat pemberian vaksin (PPV), Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) dan hospital,” katanya.