Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Dulu RM1,000 untuk pesakit, kini bantuan untuk khairat kematian

SHAH ALAM, 1 JULAI: Tahun lalu pesakit Covid-19 menerima bantuan RM1,000 tetapi kini waris menerima jumlah yang sama bagi khairat kematian.

Bantuan untuk pesakit diumumkan dalam pakej Selangor Prihatin fasa satu yang sudah tamat tempoh permohonan tetapi pakej Kita Selangor 2.0 mengekalkan jumlah itu kepada keluarga.

EXCO kesihatan awam menjelaskan kekeliruan di media sosial apabila keratan akhbar lama disebarkan semula, seolah-olah bantuan untuk pesakit masih ada.

“Untuk makluman semua, insentif pemberian ini (untuk pesakit) telah ditutup pada 31 Disember 2020,” jelas Dr Siti Mariah Mahmud menerusi Facebook.

“Bagi tahun 2021 pula, Kerajaan Negeri telah umumkan pakej Kita Selangor 2.0 pada 9 Jun yang memuatkan pelbagai inisiatif dan insentif terbaru dengan mengambil kira situasi negeri terkini.

“Antara yang diumumkan ialah tentang bantuan kewangan untuk keluarga atau waris pesakit Covid-19 yang meninggal dunia atau khairat kematian sebanyak RM1,000.”

Tambahnya, permohonan dan pembayaran untuk bantuan kewangan tersebut akan diuruskan oleh anak syarikat milik negeri Selcare dan akan diumumkan perinciannya dalam tempoh terdekat.

Keratan akhbar dikongsikan Dr Siti Mariah Mahmud di Facebook