Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Fobia jarum alasan elak terima suntikan vaksin Covid-19

Oleh Soon Li Wei

KUALA LUMPUR, 26 JULAI: Dalam ketika kerajaan giat meningkatkan kadar pemberian vaksin bagi mencapai sasaran imuniti kelompok, ada individu yang masih belum dapat memberanikan diri untuk mendapatkan suntikan itu.

Walaupun sudah dewasa tetapi mereka ini amat takut dengan JARUM SUNTIKAN dan boleh cepat berasa cemas hanya dengan mendengar nama objek itu disebut.

Menurut pakar psikiatri Universiti Malaysia Sarawak, Dr Amanda Albert, takut jarum adalah perkara biasa, dengan setengah pakar membuat andaian bahawa menghindari kesakitan akibat jarum menembusi kulit sebenarnya naluri evolusi.

“Umat manusia wujud sehingga ini dengan menghindari kesakitan dan kecederaan hasil daripada naluri, sehingga mencetuskan ketakutan manusia kepada jarum.

“Bagaimanapun, masalah timbul apabila ketakutan ini sampai kepada peringkat fobia yang melampau kerana ini akan memberi kesan kemampuan seseorang itu mendapatkan suntikan vaksin atau menjalani sebarang prosedur perubatan yang melibatkan jarum,” beliau memberitahu Bernama baru-baru ini.

Petugas kesihatan memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada orang awam di pusat pemberian vaksin (PPV) Dewan Seri Siantan, Gombak pada 28 Jun 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Menurut Dr Amanda, fobia tertentu mengenai prosedur perubatan melibatkan jarum dikenali sebagai trypanophobia. Beliau berkata, ia disenaraikan dalam Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders, Edisi Kelima (DSM-5) sebagai jenis fobia darah-suntikan-kecederaan.

Di Malaysia, tidak ada statistik yang boleh menunjukkan berapa ramai orang yang menghidap fobia ini tetapi di peringkat global, dianggarkan seorang dalam 10 orang mungkin menderita satu-satu bentuk trypanophobia.

“Kajian turut menunjukkan empat daripada lima orang yang menghidap trypanophobia, mempunyai ahli keluarga yang menghidap fobia yang serupa. Bagaimanapun, pakar berpandangan, ini mungkin berpunca lebih kepada tingkah laku yang dipelajari, daripada warisan genetik, ” tambahnya.

Gejala fobia jarum perubatan

Menurut Dr Amanda, seseorang itu didiagnos sebagai menghidap trypanophobia apabila individu itu cepat menunjukkan rasa takut apabila melihat jarum perubatan.

Gejala ketakutan ini termasuk pengsan, berasa pening, loya, muntah, berpeluh dan berdebar-debar.

“Rasa takut ini boleh berterusan sekurang-kurangnya selama enam bulan dan seboleh-bolehnya mereka ini akan mengelakkan diri daripada melihat jarum suntikan.

“Kadangkala perasaan takut ini tidak selari dengan latar belakang sosiobudaya individu, yang bermakna rasa ketakutan itu berlainan daripada tindak balas takut individu lain dalam kelompok sosial dan kebudayaan yang sama, ” jelasnya.

Menurut beliau, dalam sesetengah kes, individu yang menghidap fobia ini diketahui akan mengelakkan diri daripada pergi ke klinik atau hospital meskipun mempunyai penyakit yang memerlukan rawatan.

Malahan, individu ini juga akan enggan mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

“Dengan apa cara jua, mereka akan mengelakkan diri daripada jarum perubatan, sama ada jarum untuk vaksin atau jarum untuk pemindahan darah, atau ubat yang diberi menerusi urat, ” katanya, sambil menambah, mereka yang menghidap trypanophobia melampau bukan sahaja akan mengelakkan diri daripada vaksin Covid-19 tetapi juga enggan memberi contoh darah mereka dan enggan mengambil sebarang ubat menerusi jarum sekiranya mereka dijangkiti Covid-19.

Berbanding dengan kumpulan anti-vaksin yang tidak mempercayai sains atau keselamatan vaksin, individu dengan trypanophobia secara umumnya tidak menentang vaksinasi, cuma mereka mengelakkannya kerana takut kepada jarum suntikan.

“Penghidap trypanophobia mungkin tidak mempunyai masalah mengambil vaksin yang diberi menerusi mulut, seperti vaksin polio, ” katanya.

Beliau menambah, individu yang mempunyai fobia ini boleh mendapatkan bantuan ahli terapi profesional, seperti ahli psikologi klinikal atau pakar psiakitri, untuk mengatasi masalah ketakutan jarum.

Tangani takut jarum

Menurut Dr Amanda, mereka yang mengelakkan diri daripada vaksin Covid-19 kerana takut jarum boleh mendidik diri mereka untuk relaks dan melakukan senaman pernafasan dalam “bagi memperlahankan respons takut dalam badan seperti degupan jantung laju dan pernafasan cepat”.

Seorang wanita menerima suntikan vaksin Covid-19 di pusat pemberian vaksin Subang Jaya pada 26 April 2021. Foto REUTERS

“(Ketika berada di pusat vaksinasi Covid-19 ), selepas anda memerika anda diberi dos vaksin yang betul, cuba lakukan sesuatu yang boleh mengalihkan tumpuan anda daripada prosedur suntikan. Bawa rakan yang dipercayai atau ahli keluarga, atau bercakap dengan mereka menerusi telefon.

“Anda juga boleh memegang pek ais kerana perasaan kesakitan dan suhu melalui saraf yang sama ke otak, jadi ini satu cara boleh mengalihkan rasa sakit. Jika di dalam bilik itu ada sekeping karya seni atau lukisan kartun yang anda suka, beri lebih tumpuan kepadanya dan bukan kepada jarum suntikan, ” tambahnya.

Beliau juga berkata, penghidap trypanophobia juga boleh menyiapkan diri untuk mengambil suntikan vaksin menerusi terapi pendedahan yang melibatkan proses mendedahkan diri mereka kepada jarum suntikan, bagi setiap peringkat.

“Baca mengenai proses vaksinasi, tengok video, dan teman seseorang ke pusat vaksinasi, ” katanya.

Sementara itu, Dr Ammar Rashidi Abdullah, seorang pegawai perubatan di Hospital Kepala Batas di Pulau Pinang berkata, individu yang mempunyai fobia tentang jarum perlu berjumpa dengan pakar psikiatri atau kaunselor bagi mengatasi rasa ketakutan itu.

Beliau berpandangan, ketakutan kepada jarum boleh menjejaskan kesihatan seseorang kerana ia akan menyekat individu itu daripada mendapatkan suntikan vaksin Covid-19, malah juga sebarang rawatan perubatan yang melibatkan penggunaan jarum.

Dr Ammar Rashidi turut mengingatkan bahawa vaksin Covid-19 yang ditawarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah selamat dan diluluskan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) KKM, juga Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

– BERNAMA