Categories
PBT SELANGOR

Ingkar SOP: MBSJ keluar enam notis kompaun kepada pemilik premis niaga

SHAH ALAM, 27 JULAI: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) mengeluarkan enam notis  tawaran kompaun terhadap pemilik premis perniagaan di Taman Perindustrian Seri Kembangan pada 22 Julai lalu.

Timbalan pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategiknya berkata kompaun dikeluarkan berikutan peniaga tersebut tidak mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) Pelan Pemulihan Negara fasa satu.

“Pemeriksaan ke atas 20 premis perniagaan dan dua kilang dapati ada segelintir pemilik tidak patuhi SOP termasuk sebuah kilang tidak memperbaharui lesen berniaga,” kata Azfarizal Abdul Rashid dalam kenyataan semalam.

Menurutnya, daripada enam notis tawaran kompaun dikenakan itu tiga notis kompaun dikeluarkan mengikut Undang-Undang Kecil 3, Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian MPSJ 2007.

Manakala, katanya masing-masing satu notis di bawah Undang- Undang Kecil 3, Undang- Undang Kecil Iklan MPSJ 2007, Seksyen 46 (1) (a) Akta 133 Akta Jalan , Parit Dan Bangunan (AJPDB) 1974 dan Seksyen 46 (1) (d) Akta 133 Akta Jalan , Parit Dan Bangunan (AJPDB) 1974.

Justeru, Azfarizal menggesa pengusaha kilang dan pemilik premis perniagaan untuk terus mematuhi peraturan MBSJ dan SOP demi mengekang penularan Covid-19.

“MBSJ akan memperhebatkan operasi pemantauan dari semasa ke semasa dengan kerjasama pelbagai agensi selain mengarahkan semua jabatan sentiasa peka aduan setempat,” katanya.