Categories
AGENDA NASIONAL

KKM cadang sidang Parlimen dipendek, had kehadiran fizikal

SHAH ALAM, 29 JULAI: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mencadangkan jumlah kehadiran secara fizikal di Parlimen dikurangkan dan tempoh persidangan dipendekkan.

Saranan itu dikemukakan ketua pengarah kesihatan semasa mesyuarat penyelarasan bagi urusan berkaitan sidang khas Dewan Rakyat berikutan penularan Covid-19 pada 26 Julai lalu.

Maklum Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi kenyataan, langkah itu bagi memastikan sidang khas terus berjalan lancar dan semua individu dikehendaki mematuhi tatacara operasi standard (SOP) serta peraturan sedia ada.

“KKM akan terus memantau situasi yang mana pasukan dari Jabatan Kesihatan bersama Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) telah ditempatkan di bangunan Parlimen untuk menyelaras saringan demam dan gejala,” katanya.

Beliau berkata sehingga 28 Julai, seramai 104 individu telah menjalani ujian kit pantas antigen (RTK-Ag) menggunakan sampel saliva dan mendapati kesemuanya negatif Covid-19.

“Sekiranya terdapat kes positif dalam kalangan individu yang hadir Parlimen, siasatan akan dijalankan termasuk pengesanan kontak dan punca jangkitan.

“Penilaian risiko turut dijalankan untuk mengetahui sama ada terdapat penularan jangkitan dalam kalangan mereka yang hadir ke Parlimen selain keperluan penutupan sementara untuk langkah pencegahan dan kawalan,” katanya.

Dr Noor Hisham bagaimanapun berkata berdasarkan penilaian risiko yang dijalankan, tiada penularan jangkitan Covid-19 dikesan di Parlimen tetapi pemantauan diteruskan sehingga sidang khas tamat.

Katanya, sehingga 28 Julai lalu, 56 kes positif telah dikesan melibatkan dua ahli parlimen, enam pegawai pengiring dan 48 pegawai dari pelbagai agensi kerajaan.