Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Penduduk di empat kawasan PKPD divaksin minggu depan

GOMBAK, 21 JULAI: Penduduk di empat kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) akan menerima suntikan vaksin mulai minggu depan.

Dato’ Menteri Besar berkata suntikan bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) diberikan sebaik proses saringan selesai, dijangka minggu ini.

“PKPD di kawasan terbabit berjalan dengan baik dan saringan sedang dibuat, namun ada sebahagian penduduk yang sudah disaring sebelum perintah itu berkuat kuasa. Kita jangka proses saringan selesai dalam tempoh tiga hari lagi.

“Jadi, menjelang minggu depan kita boleh beri vaksin kepada penduduk yang disahkan negatif,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari selepas meninjau pusat pemberian vaksin (PPV) Dewan Sri Siantan di sini hari ini.

Pada 16 Julai, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan empat kawasan di Selangor dikenakan PKPD mulai 18 hingga 31 Julai.

Kawasan tersebut meliputi Flat Taman Samudera, mukim Batu, Damai Apartment, PJS 8, mukim Damansara, Jalan Pandan Indah, mukim Ampang dan Bandar Bukit Tinggi, mukim Klang.

Sementara itu, Amirudin berkata tinjauan ke semua lokasi PKPD akan dibuat bagi melihat sendiri proses pemberian vaksin kepada penduduk terlibat.

“Saya telah melawat Flat Taman Samudera, mukim Batu baru-baru ini dan mungkin beberapa hari lagi akan tengok tempat PKPD lain terutama ketika proses vaksinasi dilakukan,” katanya.

Sebelum ini, penduduk di tiga kawasan PKPD negeri ini yang diberikan vaksin adalah Pangsapuri Mentari Court di Petaling Jaya, Taman Murni, Sepang dan Pangsapuri Sri Ayu, Bandar Baru Bangi.