Categories
AGENSI SELANGOR

PKPD: KPDNHEP Selangor terima 236 aduan, periksa 2,561 premis

SHAH ALAM,14 JULAI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor menerima 236 aduan sejak Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksana pada 3 Julai hingga hari ini.

Pengarahnya berkata antara aduan paling banyak diterima membabitkan transaksi dalam talian iaitu 109  diikuti pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) (37), perkhidmatan mengelirukan (26) dan harga (21).

Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata pihaknya turut menerima aduan berkaitan perihal dagangan palsu, jualan murah, iklan mengelirukan, barang kawalan, timbang sukat dan sewa beli kenderaan.

“Sebanyak 2,561 premis diperiksa sepanjang PKPD bermula 3 Julai lalu hingga hari ini melibatkan 200 anggota penguat kuasa.

“Tiada aduan berkaitan kekurangan bekalan barangan keperluan diterima sepanjang PKPD,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata pemeriksaan terus dijalankan oleh setiap cawangan di sembilan daerah seluruh negeri.

PKPD dikuat kuasa di 34 mukim di lapan daerah negeri ini selama 14 hari bermula 3 hingga 16 Julai.