Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pusat kuarantin mini di Mentari Court mudahkan pemantauan setempat

SHAH ALAM, 7 JULAI: Tindakan Kerajaan Selangor menyediakan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) mini di Pangsapuri Mentari Court PJS8 bagi memudahkan pemantauan setempat.

Pengarah Kesihatan Negeri Selangor berkata kaedah baharu itu bagi memastikan mereka yang dijangkiti wabak dapat dinilai terus di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) yang ada di dalam kawasan tersebut.

“Kita mewujudkan kaedah baharu iaitu menyediakan PKRC mini supaya penduduk dijangkiti akan ditempatkan di situ dan mereka yang negatif akan disaring serta divaksin di dalam pangsapuri tersebut juga,” kata Datuk Dr Sha’ari Ngadiman.

Beliau berkata demikian ketika bual bicara “Urus Situasi Kritikal PKPD di Selangor” secara langsung menerusi Agenda Awani malam tadi.

Isnin lalu, Dato’ Menteri Besar memaklumkan Kerajaan Negeri menyediakan klinik bergerak, CAC dan pusat kuarantin di Pangsapuri Mentari Court.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata elemen baharu itu akan turut diterapkan di beberapa kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).