Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Rebat Grab ke PPV diperluas ke semua peringkat usia

SHAH ALAM, 6 JULAI: Rebat perjalanan ke pusat pemberian vaksin (PPV) menggunakan Grab berjumlah RM20 kini dibuka kepada semua rakyat Selangor tanpa mengira usia.

Perkara itu diumumkan Dato’ Menteri Besar pada majlis menandatangani perjanjian kerjasama strategik antara Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dan Grab Malaysia hari ini.

“Saya sukacitanya mengumumkan rebat pengangkutan bagi mendapatkan vaksin dibuka kepada semua lapisan tidak sebagaimana yang saya umumkan pada 9 Jun bahawa ia terhad kepada 50 tahun ke atas.

“Memikirkan bahawa vaksin adalah satu keperluan kepada mereka yang berumur 18 tahun ke atas, kini rebat pangangkutan dibuka kepada semua rakyat Selangor yang layak,” Dato’ Seri Amirudin Shari dalam siaran langsung di Facebook.

Sebelum ini, inisiatif dengan peruntukan RM1 juta yang terkandung dalam Pakej Kita Selangor 2.0 dikhususkan untuk penduduk negeri berusia 50 tahun ke atas.

Permohonan rebat yang dibuka pada 20 Jun lalu sah bagi perjalanan ke PPV seluruh negeri dan Kuala Lumpur mulai 1 Julai hingga 30 September.

Orang ramai boleh melayari pautan www.platselangor.com dan tekan butang Inisiatif MBI Bisnes Amal untuk mendaftar.