Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Wakil rakyat usahakan suntikan ke rumah atasi individu gagal hadir PPV

PETALING JAYA, 30 JULAI: Wakil rakyat Bukit Lanjan bercadang memulakan program pemberian vaksin dari rumah ke rumah bagi mengatasi isu individu tidak hadir ke pusat vaksin (PPV).

Elizabeth Wong berkata langkah itu juga berikutan individu yang menerima pelalian di kawasan terbabit masih rendah sekitar 30 peratus daripada 240,000 penduduk dewasa.

“Kita percaya masih ada yang takut untuk ambil vaksin dan memberi alasan seperti sibuk bekerja dan menjaga anak sehingga gagal hadir ke PPV mengikut tarikh janji temu.

ADN Bukit Lanjan, Elizabeth Wong. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Jadi, saya sedang bincang dengan pihak berkuasa untuk turun ke lapangan bagi memastikan semua divaksin. Ia lebih efektif berbanding ke PPV,” katanya ditemui di PPV Tropicana Gardens Mall hari ini.

Sementara itu, wakil rakyat Bukit Gasing menggesa kerajaan mengemas kini data individu selesai menerima vaksin supaya pemberian pelalian dapat ditumpukan di lokaliti tertentu.

“Selepas ini kita sasar untuk melaksanakan pemberian vaksin dari rumah ke rumah kerana kita tahu mereka yang kurang berminat divaksin tidak mungkin akan hadir ke PPV.

“Bagaimanapun, buat masa ini kita tiada data (mereka yang sudah divaksin), jadi kita harap kerajaan dapat keluarkan maklumat tersebut kepada setiap wakil rakyat kawasan,” kata Rajiv Rishyakaran.

Kerajaan Selangor menyediakan sebanyak dua juta dos vaksin kepada sejuta pekerja termasuk warga asing bagi mengawal perebakan wabak di tempat kerja menerusi Selvax Industri.

Selvax Komuniti pula memanfaatkan seramai 250,000 rakyat yang masih belum divaksin membabitkan 500,000 dos.

Maklumat berkaitan program tersebut boleh dicapai menerusi https://vax.selangkah.my atau hubungi talian 1-800-22-6600. Orang ramai boleh merujuk Facebook, Twitter dan Instagram @SelangorVAX.