Categories
AGENDA NASIONAL

Perkasa integriti penguat kuasa selaras titah Sultan Selangor

SHAH ALAM, 30 JULAI: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) akan memperkasa budaya berintegriti dalam kalangan pegawai dan agensi penguatkuasaan di bawah seliaan khususnya di Selangor.

Maklum EAIC menerusi kenyataan, langkah itu selaras titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pada 28 Julai lalu yang bertegas dengan perbuatan rasuah di negeri ini.

“EAIC menjunjung kasih atas titah DYMM Sultan Sharafuddin yang menzahirkan kebimbangan terhadap aktiviti rasuah atau pecah amanah yang boleh meruntuhkan imej pentadbiran dan nama baik pegawai Kerajaan di Negeri Selangor.

“Selaku agensi yang bertanggungjawab mengawal selia pematuhan integriti  di bawah Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700], EAIC dengan penuh iltizam akan meningkatkan usaha memperkasakan budaya berintegriti,” jelasnya.

Menerusi kenyataan dikeluarkan Setiausaha Sulit Sultan Selangor Dato’ Mohamad Munir Bani pada 28 Julai, baginda bertitah akan menarik semula darjah, bintang kebesaran dan pingat yang diberi kepada pegawai atau ahli politik negeri itu jika didapati terlibat aktiviti rasuah.

Sultan Sharafuddin bertitah tindakan tegas perlu dikenakan kerana perbuatan rasuah boleh mencemar nama baik seluruh pegawai Kerajaan Negeri.