Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

1.59 juta penduduk Selangor lengkap dos vaksin

SHAH ALAM, 6 OGOS: Seramai 1.59 juta atau 33.4 peratus penduduk Selangor yang memohon vaksin lengkap dua dos pelalian Covid-19 setakat ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan sebanyak lima juta dos diberi menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

“Setakat 6 Ogos 2021, sejumlah lima juta dos vaksin telah disuntik di Selangor. Manakala, menerusi Program Vaksin Selangor atau Selvax pula, tambahan sebanyak 232,670 dos telah disuntik.

“Sebanyak 33.4 peratus, bersamaan 1.59 juta individu pula telah lengkap dua dos vaksin di Selangor,” katanya di Facebook.

Berdasarkan perkongsian infografik di media sosialnya, seramai 3.40 juta rakyat atau 71.7 peratus telah menerima dos pertama.

Pada 16 Julai, Amirudin berkata semua warga Selangor yang mendaftar akan menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin menjelang 1 Ogos.

Sebanyak dua juta dos vaksin disediakan Kerajaan Selangor kepada pekerja termasuk warga asing bagi mengawal perebakan wabak di tempat kerja menerusi Selvax Industri.

Selvax Komuniti pula memanfaatkan 250,000 rakyat yang belum divaksin membabitkan 500,000 dos.

Maklumat berkaitan program tersebut boleh dicapai dengan melayari laman sesawang vax.selangkah.my atau hubungi talian 1-800-22-6600.