Categories
AGENDA NASIONAL

1,517 pelajar hilang tempat bergantung akibat Covid-19

SHAH ALAM, 24 OGOS: Seramai 1,517 pelajar di seluruh negara menjadi anak yatim atau yatim piatu akibat kematian seorang ibu bapa atau kedua-duanya sekali berpunca daripada Covid-19.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkata jumlah direkodkan antara Mac tahun lalu hingga Ogos ini dianggap mendukacitakan dan memerlukan langkap pembelaan sewajarnya, lapor Harian Metro.

“Walaupun angka ini dianggap kecil berbanding lima juta pelajar di seluruh negara ketika ini namun isu kebajikan semua anak-anak mangsa Covid-19 ini tetap diambil perhatian serius.

“KPM melalui Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta pihak pengurusan sekolah sentiasa peka terhadap nasib pelajar yang kehilangan ibu bapa ini,” katanya.

KPM memaklumkan pihaknya turut menubuhkan pasukan khas iaitu Kebajikan Murid Guru di peringkat kementerian bagi memastikan tindakan dan bantuan segera disalurkan kepada golongan terbabit.

“Pelbagai bantuan akan disalurkan dengan segera antaranya bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin dan bantuan bekalan makanan di bawah Rancangan Makanan Tambahan bagi mereka yang layak serta penempatan pelajar ke asrama di bawah kelolaan KPM,” katanya.