Categories
AGENDA NASIONAL

265 kes Delta dikesan dalam tempoh dua minggu, hanya 11 di Selangor

SHAH ALAM, 31 OGOS: Sebanyak 265 kes varian Delta (B.1.617.2) dikesan di seluruh negara dalam tempoh dua minggu, maklum Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Berdasarkan infografik dikongsi KKM di Facebook, Selangor hanya mencatat 11 kes bagi tempoh 16 hingga 29 Ogos lepas.

Varian berbahaya dikesan di India, menjadi perbualan utama di seluruh dunia kerana cepat merebak dan mendatangkan risiko kematian.

Berdasarkan data sama, Sarawak catat kes Delta paling banyak dengan 178 kes diikuti Pulau Pinang (31), Pahang (19), Negeri Sembilan (lapan) dan Sabah (lima).

Perak, Kuala Lumpur dan Johor masing-masing catat tiga kes manakala Kedah serta Perlis catat satu kes.

Secara keseluruhan, Selangor catat 80 kes Delta termasuk tiga jangkitan import. Sarawak catat angka kes Delta paling tinggi dengan 697 kes termasuk satu kes import.

Selangor juga merekodkan 49 kes bagi varian Beta dan lapan kes Alpha.

Jumlah varian membimbangkan (VOC) dikesan ini hasil kajian Institut Penyelidikan Perubatan (IMR),  Institusi Kesihatan dan Perubatan Komuniti, Universiti Malaysia Sarawak, Integrative Pharmacogenomics Institute (iPROMISE) dan Universiti Institut Mara (UiTM) Selangor.