Categories
AGENDA NASIONAL

40 peratus lengkap dos, MB yakin negeri ke fasa dua PPN hujung Ogos

BANTING, 6 OGOS: Dato’ Menteri Besar yakin Selangor mampu beralih ke fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) selewat-lewatnya hujung bulan ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata keyakinan itu susulan hampir 40 peratus penduduk negeri ini lengkap dua dos dalam tempoh sembilan hari lagi.

“Kita akan lihat penurunan kes dengan baik pada waktu itu dan dapat mengawal penularan wabak.

“Jika ada jangkitan sekalipun pesakit berada pada kategori satu dan dua serta tidak perlu dimasukkan ke hospital atau dirawat di unit rawatan rapi (ICU),” katanya.

Beliau ditemui selepas meninjau program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Sepat di Dewan MPKL Banting Baru di sini hari ini.

Seramai 1.59 juta atau 33.4 peratus penduduk Selangor yang memohon vaksin telah lengkap dua dos pelalian Covid-19 setakat hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan tiga indikator perlu dipatuhi setiap negeri bagi membolehkan peralihan ke fasa dua PPN.

Indikator itu termasuk purata kes harian Covid-19 bawah 4,000 kes, penggunaan katil di ICU pada kadar sederhana dan kadar vaksin dua dos mencapai 10 peratus.