Categories
AGENDA NASIONAL

DNS: Kerajaan Negeri disaran beri subsidi kit ujian kendiri Covid-19

SHAH ALAM, 27 OGOS: Kerajaan Negeri disaran memberi subsidi kepada peenduduk menerusi pembelian kit ujian kendiri Covid-19.

Wakil rakyat Bukit Gasing berkata kit berkenaan boleh dijual serendah RM10 dan beliau yakin ia akan mendapat sambutan kerana harganya yang mampu milik.

“Terima kasih kepada Kerajaan Selangor kerana menjadi yang pertama mengumumkan pemberian 60,000 kit percuma kepada rakyat.

“Saya ingin mencadangkan selepas pemberian 60,000 percuma ini…kita menjual kit ini dengan harga yang murah iaitu RM10 supaya dengan subsidi kecil ia lebih ‘sustainable’ untuk Kerajaan Negeri menjual beratus-ratus ribu atau berjuta-juta kit,” katanya.

Rajiv Rishyakaran berkata demikian ketika membahaskan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pada persidangan Dewan Negeri Selangor semalam.

Beliau berkata pelbagai pihak khususnya majikan perlu menbeli kit ini untuk menjalankan ujian sekurang-kurangnya sekali seminggu bagi memastikan tempat kerja bebas Covid-19.

“Di Bukit Gasing saya menjual dengan harga subsidi kepada penduduk bagi memastikan mereka dapat membelinya dengan harga yang murah.

“Saya telah menjualnya sebanyak 3,000 kit dalam tempoh seminggu, penduduk memang mahu jalani ujian cuma tak mampu apabila dijual RM40 di farmasi,” katanya.

Rajiv juga yakin Kerajaan Selangor dapat membeli dengan kuantiti yang banyak dan kemudian mampu memberi subsidi kepada rakyat dalam usaha memerangi Covid-19.