Categories
AGENDA NASIONAL

Menteri: Kit ujian kendiri Covid-19 kini serendah RM4.90

SHAH ALAM, 25 NOV: Kit ujian pantas (RTK) antigen Covid-19 yang menggunakan sampel air liur kini boleh dibeli di pasaran pada harga serendah RM4.90 tanpa menjejaskan kualiti alat tersebut.

Menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata sebelum ini setiap kit ujian antigen pantas itu dijual antara RM6.60 dan RM6.90 bergantung kepada jenama, lapor Astro Awani.

Katanya melihat pada penularan Covid-19 yang masih tinggi dalam negara, peranti itu kini menjadi sebahagian daripada keperluan setiap isi rumah.

“Dengan pembukaan lebih banyak sektor ekonomi, pekerjaan, sekolah dan institusi pengajian, semestinya keperluan untuk membuat ujian kendiri ini menjadi lebih mendesak dan perlu dilakukan dengan kerap.

“Melalui perbincangan berterusan bersama Kementerian Kesihatan (KKM), saya bersetuju harga kit ini perlu diturunkan lagi, tanpa berkompromi dengan kualiti kit ujian ini.

“Semestinya saya mahu kit ini dapat dibeli dengan harga mampu milik agar semua rakyat dapat melakukan sendiri ujian secara kerap,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Mengulas lanjut, Alexander memaklumkan, setakat ini, kementeriannya memberikan kebenaran kepada 7,302 premis di seluruh negara untuk menjual kit ujian kendiri ini yang telah diberikan kebenaran KKM dan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA).

Beliau dalam masa sama memuji inisiatif kedai serbaneka 99 Speedmart yang sudah mula menjual peranti tersebut dengan harga serendah RM4.90 seunit.

“Kerjasama daripada peniaga seperti ini amat dihargai, bagi kita sama-sama membantu meringankan beban rakyat, terutama dalam usaha kita mengawal dan menurunkan jumlah kes Covid-19 di negara kita,” katanya.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Kawal Covid-19, DUN Kajang agih 2,000 kit ujian kendiri

SHAH ALAM, 8 NOV: Sebanyak 2,000 kit ujian kendiri Covid-19 diedarkan secara percuma kepada golongan sasar di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang.

Wakil rakyatnya berkata kit tersebut diagihkan berperingkat bermula 8 Oktober lalu sehingga akhir tahun ini kepada penganjur pasar pagi dan malam, persatuan teksi serta Persatuan Peniaga Usahawan Melayu Selangor.

Menurut Hee Loy Sian, inisiatif sendiri berjumlah RM10,000 dan Kerajaan Selangor turut memanfaatkan keluarga berpendapatan rendah (B40) di pangsapuri dan flat selain masjid, surau serta tokong.

“Kit ini membolehkan mereka mengesan sama ada dijangkiti wabak atau sebaliknya sekali gus mengurangkan penularan dalam kalangan masyarakat,” katanya ketika dihubungi.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar berkata sebanyak 60,000 kit ujian kendiri diagih kepada keluarga dijangkiti Covid-19 di seluruh negeri ini bermula September.

Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan agihan dibuat melalui pusat khidmat masyarakat dan pejabat penyelaras DUN.

Categories
AGENSI SELANGOR

SELangkah perkenal fungsi tempahan saringan Covid-19, beli kit ujian kendiri

SHAH ALAM, 5 NOV: Tempahan janji temu saringan Covid-19 dan pembelian kit ujian kendiri antara fungsi terbaharu yang diperkenal dalam aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

Berdasarkan paparan pada notifikasi SELangkah, fungsi itu diperkenal pada 1 November lalu dan orang ramai perlu mengemaskini aplikasi untuk menggunakan fungsi berkenaan.

“Kini melalui aplikasi ini anda boleh membuat janji temu untuk menjalani ujian saringan Covid-19 atau boleh beli terus kit ujian kendiri dan pilih untuk ambil sendiri atau hantar ke rumah,” kata notifikasi berkenaan.

SELangkah juga menggalakkan orang ramai terutama yang ingin melancong untuk menempah kit ujian kendiri Covid-19 sebelum memulakan perjalanan.

“Singgah di farmasi pilihan anda dan ambil ketika hendak ke lapangan terbang,” katanya menerusi Facebook.

SELangkah mula diperkenalkan 4 Mei tahun lalu bagi menjejak jangkitan virus di premis perniagaan atau pejabat bagi memudahkan pengesanan kontak jika berlaku jangkitan.

Aplikasi itu terus diperkemas dengan orang ramai yang mahu menjalani saringan Covid-19 secara percuma anjuran Kerajaan Selangor perlu mendaftar melalui SELangkah.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sumbang kit ujian kendiri hargai remaja terima vaksin negeri

KLANG, 31 OKT: Wakil rakyat Pandamaran menyumbangkan 1,000 kit ujian kendiri Covid-19 dan 4,000 pelitup muka kepada peserta program Vaksin Selangor (Selvax) Remaja di sini, hari ini.

Leong Tuck Chee berkata pemberian itu sebagai menghargai kehadiran remaja berusia 12 hingga 17 tahun terbabit untuk menerima suntikan pelalian berkenaan.

“Pada masa sama kit ujian kendiri dan pelitup muka itu juga sebagai usaha memutuskan penularan wabak,” katanya ditemui pada program Selvax Remaja Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandamaran di Dewan Kompleks Sukan Pandamaran di sini, hari ini.

Wakil rakyat Pandamaran, Leong Tuck Chee mengedarkan kit ujian kendiri Covid-19 dan pelitup muka kepada penerima ketika program Selvax Remaja DUN Pandamaran di Dewan Kompleks Sukan Pandamaran, Klang pada 31 Oktober 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Tuck Chee berkata sebanyak 1,000 dos disediakan dalam program itu dan sambutan mengalakkan dengan ada peserta menunggu seawal jam 8 pagi.

“Ketika proses pra pendaftaran kami terima 200 permohonan tetapi setakat jam 11 hari ini, lebih 300 remaja sudah disuntik.

“Kehadiran ramai ini mungkin memandangkan ibu bapa cenderung anak mereka mendapat suntikan vaksin jenis Sinovac kerana kesan sampingannya kurang,” katanya.

Sekurang-kurangnya 10,000 remaja disasar menerima vaksin Covid-19 melalui Selvax Remaja yang bermula 24 Oktober.

Pada 7 Oktober, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan Selvax diperluas kepada remaja melibatkan 150,000 dos pelalian selepas dipersetujui Kementerian Kesihatan.

Sebelum ini, Selangor melancarkan Selvax Komuniti dan Selvax Industri bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian penduduk negeri ini.

Categories
AGENDA NASIONAL

Perkeso bekal kit ujian kendiri untuk majikan saring pekerja

KUALA LUMPUR, 7 OKT: Kementerian Sumber Manusia menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan membekalkan kemudahan kit ujian kendiri Covid-19 di bawah Program Ujian Saringan Covid-19 Fasa Pemulihan bagi majikan yang melaksanakan ujian saringan kepada pekerja.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M.Saravanan berkata majikan yang belum memohon untuk program itu boleh memilih jenis kit ujian yang ingin dilaksanakan sama ada Kit Ujian Pantas (RTK) Antigen yang dilakukan secara profesional di klinik atau kit ujian kendiri yang boleh dilakukan pekerja sendiri.

“Bermula semalam, Perkeso membekalkan kit ujian saringan jenis RTK Antigen kepada majikan yang menjalankan proses saringan Covid-19 pekerja mereka. Setakat ini, Perkeso menerima 230,000 permohonan daripada majikan bagi mendapatkan kit ujian (RTK Antigen) itu.

“Kedua-dua jenis kit ujian ini akan dibekalkan kepada majikan berdasarkan bilangan pekerja yang aktif mencarum dengan Perkeso,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Saravanan berkata inisiatif itu bertujuan membantu majikan melaksanakan ujian saringan Covid-19 dengan lebih mudah dan pantas.

Menerusi program itu, beliau berkata majikan bertanggungjawab menyelaraskan pelaksanaan ujian saringan Covid-19 bersama klinik pilihan mereka, selain perlu menanggung kos perkhidmatan bagi ujian saringan.

Maklumat lanjut termasuk proses permohonan berhubung Program Ujian Saringan Covid-19 Fasa Pemulihan boleh diperoleh di laman sesawang rasmi Perkeso di www.perkeso.gov.my atau menghubungi Careline Perkeso di talian 1300-22-8000.

-BERNAMA

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

300 kit ujian kendiri percuma untuk penduduk Kuala Kubu Bharu

HULU SELANGOR, 24 SEPT: Sebanyak 300 kit ujian kendiri Covid-19 menggunakan air liur disediakan secara percuma kepada penduduk sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu.

Wakil rakyatnya Lee Kee Hiong berkata keutamaan diberi kepada individu yang mana ahli keluarga mereka atau orang berdekatan dijangkiti wabak berkenaan.

“Ini adalah inisiatif kita bagi menggalakkan masyarakat membuat saringan sendiri di samping membendung penularan Covid-19.

“Individu yang mahu kit ujian ini boleh dapatkan di pusat khidmat setiap Isnin hingga Jumaat bermula 9 pagi hingga 5 petang,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak DUN Kuala Kubu Bharu di Dewan Serbaguna Kampung Chuang Rasa di sini hari ini.

Program berlangsung sejak jam 9 pagi hingga 3 petang itu menerima sambutan menggalakkan apabila 350 individu hadir secara terus dan mendaftar untuk menerima suntikan vaksin.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan teliti jual kit ujian kendiri di kedai serbaneka, pasar raya

SHAH ALAM, 23 SEPT: Kerajaan sedang meneliti kebenaran penjualan kit ujian kendiri Covid-19 di kedai serbaneka dan pasar raya selain farmasi bagi memudahkan orang ramai, kata menteri kesihatan.

Khairy Jamaluddin berkata pada masa sama harga siling peralatan itu juga akan diturunkan daripada RM19.90 bagi jualan runcit untuk membolehkan lebih banyak ujian dijalankan.

“Kit ujian kendiri ini dilihat sebagai suatu normal baharu yang akan menyokong proses pemulihan negara apabila lebih banyak sektor ekonomi dan aktiviti sosial dibenarkan selepas ini,” katanya ketika menggulung perbahasan bagi Kementerian Kesihatan pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Khairy berkata sehingga kini sebanyak 18 kit ujian kendiri telah mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) dan beberapa jenama baharu sedang diteliti yang nilai sensitivitinya harus melebihi 90 peratus.

Jelasnya, ujian menggunakan kit itu dapat memudahkan proses pengesanan, pengawalan jangkitan dan mengurangkan bebanan petugas kesihatan.

“Bagi kes yang positif menerusi ujian kit pantas antigen (RTK-Ag), individu tersebut akan terus diarah untuk isolasi dan pengasingan.

“Bagaimanapun, pengesahan menerusi RT-PCR (ujian Polimerase-Transkripsi Terbalik) tetap dijalankan,” katanya.

Categories
ADN SELANGOR

Lebih 3,000 penduduk Bukit Gasing dapat subsidi kit ujian kendiri

PETALING JAYA, 20 SEPT: Lebih 3,000 penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Gasing menerima manfaat pemberian subsidi bagi pembelian kit ujian kendiri Covid-19 sejak tiga minggu lalu.

Wakil rakyatnya Rajiv Rishyakaran berkata beliau mengambil inisiatif menjual kit itu serendah RM10 di pusat khidmatnya kerana memahami masih ramai terkesan dan amat memerlukan untuk mengetahui tahap kesihatan masing-masing.

“Sambutan amat menggalakkan di mana setiap hari pasti ada yang membeli terutama sebelum harga siling diperkenal kerajaan,” katanya ketika ditemui di Program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak di Pasar Sentosa di sini hari ini.

Rajiv berkata selain itu beliau turut bekerjasama dengan beberapa pihak dan memperkenalkan harga minima bagi ujian polimeras masa nyata (RT-PCR) serta kit ujian pantas antigen (RTK-Ag).

“RTK-PCR hanya RM160 berbanding lebih RM200 di pasaran dan RTK-Ag pula RM60 berbanding RM90 di beberapa tempat. Sejak diperkenal November tahun lalu lebih 50,000 individu mengambil peluang ini,” katanya.

Katanya, bagi mereka yang ingin melakukan ujian saringan itu boleh datang ke Kompleks Rakan Muda di sini yang dibuka setiap hari kecuali Ahad bermula 10 pagi hingga 6 petang.

Pada 12 Ogos, Dato’ Menteri Besar berkata Kerajaan Selangor akan mengagihkan 60,000 kit ujian kendiri Covid-19 secara percuma kepada keluarga mangsa yang disahkan positif wabak itu pada September depan.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kit itu akan diagihkan melalui Pusat Khidmat Masyarakat dan Pejabat Penyelaras DUN.

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar: Kit ujian kendiri percuma Selangor ringan beban rakyat

SHAH ALAM, 14 SEPT: Langkah Kerajaan Selangor memberi 60,000 kit ujian kendiri secara percuma meringankan beban golongan kurang berkemampuan menjalani saringan Covid-19, kata ketua pembangkang.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata walaupun kerajaan pusat menetapkan RM19.90 bagi harga siling peralatan itu namun masih tidak mampu dibeli keluarga berpendapatan rendah.

“Saya cadang bagilah (secara percuma), untuk orang susah dan tiada kerja RM17 RM18 mereka tidak akan beli.

“Sebab itu saya ucap terima kasih kepada Selangor yang sedia 60,000 kit…Pulau Pinang 40,000, saya harap negeri lain boleh bantu tetapi ini tanggungjawab Kementerian Kesihatan dengan peruntukan besar patut lakukan,” kata ahli parlimen Port Dickson dalam perbahasan pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Pada 12 Ogos, Dato’ Menteri Besar berkata Kerajaan Selangor mengagihkan 60,000 kit ujian kendiri Covid-19 secara percuma kepada keluarga mangsa yang disahkan positif wabak itu.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kit itu diagihkan melalui Pusat Khidmat Masyarakat dan Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN).

Kit itu mula diedar pada 3 September lalu kepada lima wakil rakyat di DUN Bandar Utama, Seri Setia, Kota Damansara, Taman Templer dan Subang Jaya dengan masing-masing menerima 1,000 unit.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

DUN Seri Setia, Bandar Utama utamakan golongan B40 terima kit ujian percuma

SHAH ALAM, 5 SEPT: Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia mengutamakan individu positif Covid-19 daripada golongan berpendapatan rendah (B40) dalam mengagihkan kit ujian kendiri percuma.

Wakil rakyatnya Halimey Abu Bakar berkata golongan yang positif dan B40 adalah antara mereka terjejas pendapatan akibat pandemik Covid-19.

“Kit ujian kendiri ini akan diagihkan selepas satu perjumpaan diadakan bersama Sukarelawan Kesihatan Komuniti (Suka) minggu hadapan untuk membincangkan kaedah agihan.

“Saya jangkakan peruntukan 1,000 unit untuk permulaan ini mencukupi susulan di DUN Seri Setia kes mencatat penurunan,” katanya kepada SelangorKini.

Sementara itu, Ahli Dewan Negeri Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin berkata pihaknya kini sedang mengumpul nama individu yang layak untuk diberikan kit ujian kendiri itu.

“Perbincangan berhubung agihan kit ujian kendiri ini diadakan dalam masa tiga hari untuk memastikan penggunaannya digunakan lebih efektif untuk golongan memerlukan terutama B40.

“Kita bercadang untuk buat agihan di pusat khidmat masyarakat atau ketika program pemberian bakul makanan,” katanya.

Pada 3 September, Kerajaan Negeri akan mula mengedar secara berperingkat 60,000 kit ujian kendiri yang akan diberikan percuma kepada rakyat yang positif Covid-19, kata EXCO kesihatan awam.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata buat permulaan sebanyak 5,000 kit diedar kepada lima wakil rakyat di DUN Bandar Utama, Seri Setia, Kota Damansara, Taman Templer dan Subang Jaya dengan masing-masing menerima 1,000 unit.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Wakil rakyat kenal pasti golongan sasar terima kit ujian percuma

PETALING JAYA, 3 SEPT: Dewan Undangan Negeri (DUN) yang menerima kit ujian kendiri Covid-19 akan mengenal pasti golongan sasar yang layak mendapat barangan secara percuma itu.

Wakil rakyat Seri Setia berkata pihaknya menggunakan khidmat Sukarelawan Kesihatan Komuniti (Suka) bagi mendapat maklum balas mengenai individu yang mempunyai gejala wabak.

ADN Seri Setia Halimey Abu Bakar. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Suka akan mengenal pasti rumah di mana penghuninya mempunyai simptom Covid-19 dan kita akan bantu edarkan kit ini kepada mereka.

“Sebagai contoh, jika seorang dari sebuah rumah itu positif sudah tentu penghuni lain juga mungkin mengalami keadaan sama, kalau lima orang kita beri lima kit kepada mereka,” kata Halimey Abu Bakar, hari ini.

Sementara itu, Ahli Dewan Negeri (ADN) Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin berkata fokus pusat khidmatnya ketika ini adalah golongan berpendatan rendah yang tinggal di kawasan rumah pangsa.

ADN Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Setiap keluarga yang memperoleh kit ini kita akan daftar nama dan alamat jadi mereka tidak akan mengambilnya dengan kuantiti banyak serta dapat mengelak kekurangan.

“Saya berharap pemberian percuma ini tidak diambil kesempatan oleh mana-mana pihak yang mungkin berniat untuk menjual kerana ia tidak akan mencegah penularan Covid-19,” katanya.

Kerajaan Negeri hari ini mulai mengedar secara berperingkat 60,000 kit ujian kendiri Covid-19 yang akan diberikan kepada rakyat secara percuma.

EXCO Kesihatan Awam berkata buat permulaan sebanyak 5,000 kit diedar kepada lima wakil rakyat di DUN Bandar Utama, Seri Setia, Kota Damansara, Taman Templer dan Subang dengan masing-masing menerima 1,000 unit.

Categories
AGENDA EXCO NASIONAL SELANGOR

Kit ujian kendiri percuma mula diagih hari ini

PETALING JAYA, 3 SEPT: Kerajaan Negeri hari ini mula mengedar secara berperingkat 60,000 kit ujian kendiri yang akan diberikan percuma kepada rakyat yang positif Covid-19.

EXCO kesihatan awam berkata buat permulaan sebanyak 5,000 kit diedar kepada lima wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Utama, Seri Setia, Kota Damansara, Taman Templer dan Subang Jaya dengan masing-masing menerima 1,000 unit.

“Pemberian kit ujian kendiri Covid-19 ini adalah untuk membantu pemantauan kendiri apabila keadaan memerlukannya seperti keluarga yang menjalani isolasi atau kuarantin di rumah.

“Persoalannya apabila dikuarantin di rumah…kita tahu apabila seseorang disahkan positif lambut laun seisi rumah menjadi kontak rapat dan tidak boleh keluar. Maka kit ini diperlukan untuk membuat pengasingan antara yang positif dan negatif,” kata Dr Siti Mariah Mahmud.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan saliva test kit kepada lima Ahli Dewan Negeri (ADN) di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bandar Utama di sini hari ini.

Katanya, kit itu juga boleh digunakan selepas 10 hari individu yang dikuarantin untuk mengetahui sama ada kekal negatif atau sebaliknya.

Pada 12 Ogos, Dato’ Menteri Besar berkata Kerajaan Selangor akan mengagihkan 60,000 kit ujian kendiri Covid-19 secara percuma kepada keluarga mangsa yang disahkan positif wabak itu pada September depan.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kit itu akan diagihkan melalui Pusat Khidmat Masyarakat dan Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN).