Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Ibu dalam pantang gagahkan diri ambil vaksin

BANGI, 19 OGOS: Biarpun masih berpantang selepas melahirkan anak kedua, seorang ibu sanggup menggagahkan diri ke pusat pemberian vaksin (PPV) Evo Mall di sini semalam untuk menerima Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti.

Siti Mastura Mohd Khairuzaman, 33, yang berpantang hari ke-42 mengetepikan rasa sakit demi memperoleh suntikan dos pertama sambil ditemani suami Zainoor Izwan Abu Bakar, 32.

Suri rumah itu berkata dia nekad berbuat demikian berikutan bimbang peningkatan kes sejak kebelakangan ini apatah lagi dirinya pernah dijangkiti wabak sehingga perlu bersalin secara pembedahan caesarean.

Siti Mastura Mohd Khairuzaman, 31

“Sebelum bersalin saya memang nak sangat vaksin tetapi kena tangguh sebab timbul perasaan was-was. Kebetulan waktu itu tiada bukti yang mengatakan vaksin tidak memberi apa-apa kesan terhadap wanita hamil.

“Dua hari sebelum tarikh bersalin, saya dijangkiti Covid-19 di hospital dan disaran untuk melakukan pembedahan bagi mengelak risiko kepada bayi dalam kandungan. Namun, saya bersyukur kerana tahap oksigen stabil,” katanya kepada Selangorkini.

Ibu dua anak turut menasihati wanita hamil supaya tidak sesekali bimbang mengambil vaksin dan segera berjumpa doktor untuk mendapatkan pandangan.

“Saya seru ibu hamil di luar sana agar cepat-cepat ambil vaksin, jangan lihat dari sudut negatif sebaliknya fikir anak dalam kandungan dan paling penting tawakkal, Insya-Allah akan dipermudahkan,” katanya yang menetap di Taman Kajang Utama.

Sementara itu, Roslan Rahullah, 57, tidak menyangka apabila anak perempuannya Nur Adlin Hakimi diberi kelonggaran untuk menerima vaksin menerusi program berkenaan meskipun akan mencapai usia 18 tahun pada Oktober ini.

Roslan Rahullah, 57

Menurutnya, sebelum ini anak bongsu dari tiga beradik itu berdaftar secara sukarela untuk mendapat vaksin AstraZeneca kendalian kerajaan persekutuan, namun tidak dibenarkan berbuat demikian atas faktor usia.

“Alhamdulillah, syarat program ini tidak terlalu ketat dan anak saya layak divaksin asalkan ditemani penjaga di PPV.

“Dia (Nur Adlin) kelihatan seronok selepas terima vaksin dan berharap boleh kembali ke kolej untuk memulakan pembelajaran secara bersemuka kerana sebelum ini dia hanya belajar dalam talian,” katanya.

Rusnida Ismail, 35, pula meluahkan rasa lega kerana diberi tarikh janji temu dua hari selepas mendaftar di aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Ramal.

Rusnida Ismail, 35

Malah ibu enam anak yang bekerja sebagai pembantu di sebuah restoran di sini berkata majikan mewajibkan semua pekerja mengambil vaksin bagi mengelak risiko jangkitan terutama ketika berurusan dengan pelanggan.

“Walaupun sekarang pelanggan hanya membeli secara bungkus tetapi risiko jangkitan tetap ada, sebab itu kalau boleh mahu divaksin cepat,” katanya.