Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Ibu dalam pantang gagahkan diri ambil vaksin

BANGI, 19 OGOS: Biarpun masih berpantang selepas melahirkan anak kedua, seorang ibu sanggup menggagahkan diri ke pusat pemberian vaksin (PPV) Evo Mall di sini semalam untuk menerima Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti.

Siti Mastura Mohd Khairuzaman, 33, yang berpantang hari ke-42 mengetepikan rasa sakit demi memperoleh suntikan dos pertama sambil ditemani suami Zainoor Izwan Abu Bakar, 32.

Suri rumah itu berkata dia nekad berbuat demikian berikutan bimbang peningkatan kes sejak kebelakangan ini apatah lagi dirinya pernah dijangkiti wabak sehingga perlu bersalin secara pembedahan caesarean.

Siti Mastura Mohd Khairuzaman, 31

“Sebelum bersalin saya memang nak sangat vaksin tetapi kena tangguh sebab timbul perasaan was-was. Kebetulan waktu itu tiada bukti yang mengatakan vaksin tidak memberi apa-apa kesan terhadap wanita hamil.

“Dua hari sebelum tarikh bersalin, saya dijangkiti Covid-19 di hospital dan disaran untuk melakukan pembedahan bagi mengelak risiko kepada bayi dalam kandungan. Namun, saya bersyukur kerana tahap oksigen stabil,” katanya kepada Selangorkini.

Ibu dua anak turut menasihati wanita hamil supaya tidak sesekali bimbang mengambil vaksin dan segera berjumpa doktor untuk mendapatkan pandangan.

“Saya seru ibu hamil di luar sana agar cepat-cepat ambil vaksin, jangan lihat dari sudut negatif sebaliknya fikir anak dalam kandungan dan paling penting tawakkal, Insya-Allah akan dipermudahkan,” katanya yang menetap di Taman Kajang Utama.

Sementara itu, Roslan Rahullah, 57, tidak menyangka apabila anak perempuannya Nur Adlin Hakimi diberi kelonggaran untuk menerima vaksin menerusi program berkenaan meskipun akan mencapai usia 18 tahun pada Oktober ini.

Roslan Rahullah, 57

Menurutnya, sebelum ini anak bongsu dari tiga beradik itu berdaftar secara sukarela untuk mendapat vaksin AstraZeneca kendalian kerajaan persekutuan, namun tidak dibenarkan berbuat demikian atas faktor usia.

“Alhamdulillah, syarat program ini tidak terlalu ketat dan anak saya layak divaksin asalkan ditemani penjaga di PPV.

“Dia (Nur Adlin) kelihatan seronok selepas terima vaksin dan berharap boleh kembali ke kolej untuk memulakan pembelajaran secara bersemuka kerana sebelum ini dia hanya belajar dalam talian,” katanya.

Rusnida Ismail, 35, pula meluahkan rasa lega kerana diberi tarikh janji temu dua hari selepas mendaftar di aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Ramal.

Rusnida Ismail, 35

Malah ibu enam anak yang bekerja sebagai pembantu di sebuah restoran di sini berkata majikan mewajibkan semua pekerja mengambil vaksin bagi mengelak risiko jangkitan terutama ketika berurusan dengan pelanggan.

“Walaupun sekarang pelanggan hanya membeli secara bungkus tetapi risiko jangkitan tetap ada, sebab itu kalau boleh mahu divaksin cepat,” katanya.

Categories
SELANGOR

Jurujual lega lengkap dos vaksin walaupun tersesat hingga Putrajaya

BANGI, 17 OGOS: Seorang jurujual menarik nafas lega apabila lengkap menerima dos vaksin di pusat pemberian vaksin (PPV) Evo Mall di sini, hari ini walaupun tersesat hingga ke Putrajaya.

Siti Khalijah Huzaini, 21 dari Kapar berkata dia tidak menjangka perjalanan yang sepatutnya sekitar sejam mengambil masa dua jam setengah gara-gara tersesat.

Jurujual, Siti Khadijah Huzaini, 21

“Sebelum ini waktu dos pertama saya menaiki kereta bersama pengurus  tetapi kali ini saya datang dengan ibu naik motosikal itu yang tersalah jalan hingga ke Putrajaya.

“Kami bertolak dari Kapar jam 8 pagi tetapi 10.30 pagi baru sampai. Namun saya bersyukur kerana berjaya melengkapkan dua dos vaksin demi keselamatan diri dan keluarga,” katanya ketika ditemui Selangorkini.

Pekerja kedai serbaneka, Zairil Anuar Sarudin, 21 berhasrat untuk pulang ke Sabah selepas selesai menerima dua dos pelalian kerana sudah letih dengan situasi Covid-19.

Jurujual, Zairil Anuar Sarudin, 21

“Sekarang ini nak masuk ke mana-mana tempat perlu ada dua dos vaksin tidak mustahil jika mahu menaiki kapal terbang nanti akan diletakkan syarat yang sama.

“Saya cadang apabila cukup duit nanti mahu pulang ke Sabah dengan segera kerana sudah tidak tahan dengan situasi di sini, lebih baik saya berada dekat dengan keluarga,” katanya.

Sementara itu, seorang suri rumah tidak menjangka akan menerima vaksin walaupun pada awalnya hanya menemani anaknya yang menerima janji temu pada hari ini.

Noraini Mad Soror, 56 berkata dia hanya mencuba nasib bertanya kepada sukarelawan dan mereka memaklumkan dia layak untuk menerima vaksin.

Suri rumah, Noraini Mad Soror, 56

“Jun lepas saya ada terima janji temu tetapi mereka tidak benarkan saya terima vaksin kerana bacaan darah tinggi ketika jadi mereka beri saya surat rujukan ke klinik kesihatan.

“Namun sehingga kini tiada maklum balas, mungkin pada waktu itu situasi masih baru jadi sedikit kelam kabut apabila membabitkan mereka yang mempunyai penyakit,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

PPV Evo Mall tambah sukarelawan, tangani kesesakan pasar raya

BANGI, 16 OGOS: Klinik Selcare menambah sukarelawan di pusat pemberian vaksin (PPV) Evo Mall susulan pembukaan 11 jenis aktiviti ekonomi bermula hari ini.

Penyelaras PPV itu Amiroel Zhafran berkata penambahan lima lagi kakitangan menjadikan 37 sukarelawan bagi membantu mengawal kesesakan di pintu masuk memandangkan PPV berkenaan dibina dalam pasar raya.

“Sejak dibuka 26 Jun pengurusan bangunan membuat dua laluan, satu ke PPV dan satu ke pasar raya. Namun disebabkan banyak premis akan dibuka minggu ini, kita terpaksa tambah jumlah sukarelawan.

“Mereka akan mengawal aliran trafik bahagian pendaftaran yang kerap sesak kerana ramai tidak memuat turun aplikasi SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat),” katanya ditemui hari ini.

Bermula hari ini kerajaan membenarkan premis cuci kereta, elektrik dan elektronik, barangan rumah dan peralatan dapur, perabot, peralatan sukan, aksesori kereta dan pusat pengedaran serta jualan kereta dibuka.

Kebenaran turut diberi kepada pasar pagi dan pasar tani; kedai pakaian, fesyen dan aksesori; barang kemas dan kedai gunting rambut.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Lebih 15,000 individu terima vaksin Selangor di PPV Evo Mall

BANGI, 16 OGOS: Lebih 15,000 individu sudah menerima suntikan pelalian menerusi program Vaksin Selangor (Selvax) di pusat pemberian vaksin (PPV) Evo Mall, di sini.

Penyelarasnya Amiroel Zhafran berkata jumlah direkodkan sejak 26 Jun hingga semalam itu turut melibatkan lebih 8,000 penyertaan berdaftar untuk Selvax Industri.

“Peserta ini daripada 60 syarikat yang mendaftar dengan Kerajaan Selangor bagi mempercepat proses vaksinasi kakitangan. Antara syarikat terlibat 99 Speed Mart, Public Bank dan DHL Express Malaysia.

Penyelaras pusat pemberian vaksin (PPV) Evo Mall, Amiroel Zhafran. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Kami juga terima penyertaan kakitangan syarikat luar Selangor antaranya Lembaga Perumahan Melaka, M3 Atelier di Melaka dan Thiam Sieng Steel di Johor. Mereka mendapat kebenaran rentas negeri,” katanya ketika ditemui hari ini.

Menurut Amiroel operasi PPV berkenaan akan dihentikan sementara mulai 22 hingga 27 Ogos ini sebelum disambung pada 28 Ogos bagi proses suntikan dos kedua.

“Operasi berakhir sepenuhnya pada 3 September. Setakat ini majoriti peserta yang hadir dalam kalangan penduduk Hulu Langat termasuk warga asing,” katanya.

Pada Jun, Kerajaan Selangor melancarkan Selvax Komuniti dan Selvax Industri bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian rakyat negeri ini.

Usaha melibatkan kos bernilai RM200 juta itu diiktiraf kerajaan persekutuan dan terangkum dalam kerangka Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dengan menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas serta pekerja industri.