SHAH ALAM, 17 OGOS: Sebuah keluarga bersyukur apabila pengebumian jenazah bapa mereka diuruskan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) kurang 14 jam selepas meninggal dunia tanpa bayaran.
Wakil keluarga Muhammad Shah Waliyullah Ruslan berkata bapanya, Ruslan Yaacob, seorang ustaz di sebuah madrasah di Seksyen 13 di sini maut akibat Covid-19 di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang kira-kira jam 2.15 pagi, 13 Ogos lalu.
Menurut penjawat awam berusia 24 tahun itu jenazah bapanya diuruskan pasukan pengurusan jenazah Jais bermula dari tayamum hingga ke liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 di sini.
“Alhamdulillah pengebumian selesai kira-kira jam 4 petang, semuanya percuma kecuali bayaran pengurusan tanah perkuburan berjumlah RM150.
“Pengebumian jenazah Covid-19 secara percuma oleh Jais sangat baik terutama pada saat sukar kini, mungkin ada waris tidak bersedia berdepan situasi seperti itu,” katanya ketika dihubungi.
Muhammad Shah Waliyullah berkata keluarganya juga memuji penjelasan baik oleh wakil Jais berhubung pengurusan jenazah yang dapat mengelakkan salah faham.
3 Ogos lalu, Dato’ Menteri Besar dilaporkan berkata langkah Kerajaan Negeri memperkenalkan inisiatif Pengurusan Jenazah Covid-19 Berpusat memendekkan urusan pengebumian mayat umat Islam tidak melebihi 24 jam.
Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari pengurusan jenazah oleh Jais itu dapat dilancarkan dengan menjadikan tiga hospital sebagai tempat pengurusan jenazah bagi mengatasi kesesakan bilik mayat sedia ada.
Tiga hospital berkenaan adalah Hospital Shah Alam, Hospital Sungai Buloh dan HTAR.