Categories
ADN SELANGOR

Negeri, pusat perlu teruskan kerjasama tangani wabak demi rakyat

SHAH ALAM, 25 OGOS: Kerjasama Kerajaan Selangor dan persekutuan bagi menangani pandemik Covid-19 perlu diteruskan demi keselamatan rakyat, kata ketua pembangkang.

Datuk Rizam Ismail berkata meskipun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berpengalaman luas mendepani wabak, namun agensi negeri dan wakil rakyat lebih mahir mengurus kebajikan rakyat.

“Dalam keadaan sekarang kerajaan persekutuan atau Selangor tidak boleh bergerak sendiri menyelesaikan masalah tanpa penglibatan wakil rakyat atau pemimpin setempat.

“Apa yang dapat saya simpulkan kegagalan melawan Covid-19 disebabkan tiada keseragaman gerak kerja atau kebersamaan KKM, negeri dan pemimpin daerah mengurus pandemik,” katanya pada ucapan perbahasan dalam sidang Dewan Negeri Selangor semalam.

Beliau juga kesal data pesakit Covid-19 dan penerima vaksin oleh KKM dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor tidak digunakan sebaiknya selain tidak dikongsi dengan negeri.

Selain itu, Rizam yang juga wakil rakyat Sungai Air Tawar berkata kerjasama kelompok perlu dititikberatkan supaya perancangan dibuat sebaiknya sekali gus mencapai imuniti kelompok.

“Saya kira Kerajaan Negeri memberikan pelbagai idea mengatasi masalah ini. Pelbagai inisiatif serta bantuan diberi bagi memastikan rakyat boleh meneruskan hidup seperti biasa,” katanya.

Pada 15 Jun, Kerajaan Selangor dan persekutuan bersepakat sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk negeri ini menerima suntikan vaksin selewat-lewatnya September.

Sebelum ini, hanya 43,000 orang disuntik setiap hari di negeri ini tetapi pelbagai langkah baharu diambil dalam mesyuarat Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 bagi meningkatkan suntikan vaksin.