Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

OKU bersiap seawal 6 pagi, teruja mahu lengkapkan dos vaksin

KUALA SELANGOR, 26 OGOS: Teruja untuk melengkapkan dos vaksin, seorang individu kelainan upaya (OKU) bersiap seawal jam 6 pagi bagi mendapatkan suntikan.

Muhammad Hanafi Shamsuri, 21, yang menghidap penyakit saraf sejak kecil dan tidak mampu berjalan mengakui tidak sabar-sabar menerima pelalian itu menyedari risiko dijangkiti Covid-19.

“Saya mahu divaksin kerana bimbang penularan kes yang ssemakin mendadak. Tambahan lagi saya OKU, agak berisiko dan mudah dijangkiti,” katanya kepada Selangorkini.

Muhammad Hanafi Shamsuri

Ditemani abangnya, beliau antara 1,330 penerima suntikan menerusi program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang di sini. 

Pekerja kilang Habsah Sufian, 34, berkata pula mengambil vaksin sebagai langkah berjaga-jaga dan mahu melindungi keluarga.

Habsah Sufian

“Saya ambil vaksin ini kerana bimbang kes Covid-19 di tempat kerja sentiasa ada. Ia juga sebagai salah satu inisiatif untuk melindungi diri dan tiga anak yang masih kecil.

“Walaupun kerajaan memberi kelonggaran seperti boleh makan di restoran tetapi bagi saya tidak perlu dahulu buat masa ini kerana kes masih tinggi,” katanya.

Buruh binaan, Siti Mujayana Sagimin, 41, berharap agar kerajaan dapat membuka pintu sempadan dan membenarkan individu lengkap vaksinasi merentas negara.

“Sudah lima tahun tidak bertemu empat anak saya di Surabaya, Indonesia. Harapnya selepas ini kelonggaran diberi kepada mereka yang lengkap dos.

Siti Mujayana Sagimin

“Terima kasih Kerajaan Selangor kerana sudi membuka peluang untuk warga asing seperti kami divaksin,” katanya yang sudah lapan tahun menetap di Malaysia.

Kerajaan Negeri menyediakan 500,000 dos vaksin menerusi Selvax Komuniti untuk dimanfaatkan 250,000 rakyat negeri ini.

Usaha itu diiktiraf kerajaan persekutuan dan terangkum dalam kerangka Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas serta pekerja industri.