Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Vaksin Selangor untuk individu 12 tahun ke atas di 10 klinik Selcare

SHAH ALAM, 30 OKT: Individu berusia 12 tahun ke atas yang belum menerima janji temu suntikan vaksin Covid-19 boleh berkunjung ke 10 klinik Selcare di Lembah Klang menerusi program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti.

EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud menerusi Facebook berkongsi program itu juga terbuka kepada warganegara dan bukan warganegara terlepas janji temu suntikan dos kedua.

Menurutnya Kerajaan Negeri meneruskan program Selvax Komuniti di klinik Selcare mulai 28 Oktober lalu bagi memastikan tiada warga Selangor tercicir menerima pelalian.

Dr Siti Mariah turut berkongsi senarai 10 klinik terbabit dan kod baucar untuk menetapkan janji temu menerusi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

Senarai klinik dan kod seperti berikut:

Klinik                                                                  Kod baucar
The KL Clinic Bangunan Rohas Perkasa         TKCBRP

The KL Clinic Menara Olympia                          TKCMO
The KL Clinic Menara Hap Seng 2                    TKCMHS

The KL Clinic Sri Rampai                                    TKCSR

Selcare Clinik Puchong                                       SCPCHG

Selcare Clinik USJ Sentral                                  SCUSTL

Selcare Clinik Skypark Lapangan Terbang      SCKLTS
Subang

Selcare Clinik Seksyen 13 Shah Alam               SCSSAM

Selcare Clinik Sentosa                                         SCSTSN

Selcare Clinik Putrajaya                                       SVCPTJ

Kerajaan Negeri menyediakan 500,000 dos vaksin menerusi Selvax Komuniti untuk dimanfaatkan 250,000 rakyat negeri ini.

Manakala sebanyak dua juta dos vaksin pula kepada pekerja termasuk warga asing bagi mengawal perebakan wabak di tempat kerja menerusi Selvax Industri.

Mulai 24 Oktober lalu, Kerajaan Negeri melancarkan Selvax Remaja yang melibatkan 150,000 dos pelalian selepas dipersetujui Kementerian Kesihatan.

Usaha melibatkan kos bernilai RM200 juta itu diiktiraf kerajaan persekutuan dan terangkum dalam kerangka Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas, pekerja industri dan remaja tercicir.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Edar poskad hargai penerima vaksin negeri, boleh tebus bantuan

HULU SELANGOR, 29 OGOS: Sebanyak 1,000 poskad penghargaan diedar kepada penerima suntikan pelalian pada program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali.

Penyelaras Pusat Khidmat Rakyatnya Saifuddin Shafi Muhammad berkata pemegang poskad berkenaan boleh menebus bakul makanan dan barangan persekolahan di pejabatnya pada Oktober depan.

“Inisiatif ini sebagai penghargaan kepada individu hadir untuk melengkapkan dua dos vaksin Covid-19 dalam usaha kita berdepan wabak itu,” katanya ditemui pada program itu di Dewan Dato’ Abdul Hamid di sini, hari ini.

Penyelaras Pusat Khidmat Masyarakat Dun Batang Kali, Saifuddin Shafi Muhammad

Saifuddin berkata seramai 3,100 penduduk di DUN berkenaan lengkap dua dos vaksin di bawah Selvax Komuniti yang membantu mencapai sasaran imuniti kelompok bagi memutuskan penularan wabak.

“Selepas ini kita akan fokus pula kepada golongan tercicir di bawah program Selvax bergerak pada bulan depan.

“Kita sasar untuk memberi vaksin kepada sekitar 200 hingga 400 penduduk, penerimanya sedang dikenal pasti pemimpin tempatan,” katanya.

Selvax dilancarkan pada hujung Jun dengan peruntukan RM200 juta membabitkan dua juta dos kepada pekerja termasuk warga asing bagi mengawal perebakan wabak di tempat kerja menerusi Selvax Industri.

Selvax Komuniti pula memanfaatkan 250,000 penduduk yang belum divaksin terutama warga emas, golongan berpendapatan rendah dan penerima skim Inisiatif Peduli Rakyat.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

OKU bersiap seawal 6 pagi, teruja mahu lengkapkan dos vaksin

KUALA SELANGOR, 26 OGOS: Teruja untuk melengkapkan dos vaksin, seorang individu kelainan upaya (OKU) bersiap seawal jam 6 pagi bagi mendapatkan suntikan.

Muhammad Hanafi Shamsuri, 21, yang menghidap penyakit saraf sejak kecil dan tidak mampu berjalan mengakui tidak sabar-sabar menerima pelalian itu menyedari risiko dijangkiti Covid-19.

“Saya mahu divaksin kerana bimbang penularan kes yang ssemakin mendadak. Tambahan lagi saya OKU, agak berisiko dan mudah dijangkiti,” katanya kepada Selangorkini.

Muhammad Hanafi Shamsuri

Ditemani abangnya, beliau antara 1,330 penerima suntikan menerusi program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang di sini. 

Pekerja kilang Habsah Sufian, 34, berkata pula mengambil vaksin sebagai langkah berjaga-jaga dan mahu melindungi keluarga.

Habsah Sufian

“Saya ambil vaksin ini kerana bimbang kes Covid-19 di tempat kerja sentiasa ada. Ia juga sebagai salah satu inisiatif untuk melindungi diri dan tiga anak yang masih kecil.

“Walaupun kerajaan memberi kelonggaran seperti boleh makan di restoran tetapi bagi saya tidak perlu dahulu buat masa ini kerana kes masih tinggi,” katanya.

Buruh binaan, Siti Mujayana Sagimin, 41, berharap agar kerajaan dapat membuka pintu sempadan dan membenarkan individu lengkap vaksinasi merentas negara.

“Sudah lima tahun tidak bertemu empat anak saya di Surabaya, Indonesia. Harapnya selepas ini kelonggaran diberi kepada mereka yang lengkap dos.

Siti Mujayana Sagimin

“Terima kasih Kerajaan Selangor kerana sudi membuka peluang untuk warga asing seperti kami divaksin,” katanya yang sudah lapan tahun menetap di Malaysia.

Kerajaan Negeri menyediakan 500,000 dos vaksin menerusi Selvax Komuniti untuk dimanfaatkan 250,000 rakyat negeri ini.

Usaha itu diiktiraf kerajaan persekutuan dan terangkum dalam kerangka Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas serta pekerja industri.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lega dapat vaksin negeri, suntikan di kampus UIAM mudahkan penuntut

GOMBAK, 19 OGOS: Mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) lega apabila selesai menerima suntikan dos pertama menerusi program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti semalam.

Abdul Qayyum Fadzlin, 20, berkata pemberian pelalian Covid-19 di dalam kampus memudahkan penuntut khususnya yang tidak memiliki kenderaan untuk ke pusat pemberian vaksin (PPV) luar.

Pelajar, Abdul Qayyum Fadzlin, 20. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Menurut pelajar tahun satu jurusan sosiologi, dia membatalkan janji temu Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di sebuah hospital di ibu kota awal bulan ini berikutan lokasinya jauh dari kampus.

“Apabila dimaklumkan mengenai program Selvax melalui poster yang dikongsikan di kumpulan WhatsApp, saya terus hadir ke PPV ini dan terlebih dahulu mendaftar di aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

“Saya tidak perlu bersusah payah keluar, hanya berjalan dari asrama yang mengambil masa kurang 15 minit untuk sampai malah prosesnya cukup mudah dan pantas,” katanya kepada Selangorkini.

Hafizzurahman Abu Baqr Hudri, 20, pula menyambut baik pelaksanaan program tersebut bagi mewujudkan imuniti kelompok dalam kalangan pelajar dan kakitangan.

Pelajar, Hafizzurrahman Abu Baqr Hudri, 20. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Penuntut tahun pertama jurusan bahasa Inggeris berkata kerjasama universiti dengan Kerajaan Selangor mampu mencegah jangkitan sporadik di kawasan kampus.

“Memandangkan sebelum ini ada beberapa kes Covid-19 dikesan di kampus, jadi penting untuk membina imuniti kelompok melalui program seperti ini supaya kesihatan dan keselamatan pelajar lebih terjamin.

“Walaupun sekarang cuti semester, ramai dalam kalangan kami yang menginap di asrama dan memilih untuk tidak pulang ke rumah kerana bimbang risiko kepada ahli keluarga,” kata anak ketiga dari lima beradik yang berasal dari Kuala Lumpur.

Bagi Farra Naylia Nasya Burhan Shukri dia bersyukur kerana layak menerima vaksin meskipun usianya akan mencapai 18 tahun pada Disember ini.

Pelajar, Farra Naylia Nasya Burhan Shukri, 18. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Pelajar tingkatan enam dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gombak Setia berkata dia teruja untuk mendapat suntikan memandangkan sesi persekolahan akan dibuka tidak lama lagi.

“Prosesnya sedikit rumit kerana perlu cetak borang pengesahan dan bawa penjaga ke PPV, namun saya gembira boleh menyertai kawan-kawan lain yang kebanyakannya sudah divaksin,” kata anak bongsu dari empat beradik.

Kerajaan Negeri bekerjasama dengan UIAM bagi meningkatkan kadar suntikan vaksin dalam kalangan pelajar dan kakitangan.

Sebanyak 10,000 dos diperuntukkan dengan 5,000 daripadanya digunakan untuk suntikan dos pertama bermula kelmarin sehingga semalam manakala baki untuk dos kedua.

Categories
SELANGOR

Suami lega isteri sakit kronik mudah dapat vaksin negeri

HULU SELANGOR, 9 OGOS: Bimbang dengan penularan jangkitan Covid-19, seorang suami nekad hadir awal membawa isterinya yang menghidap penyakit kronik ke program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Bernam hari ini.

Mat Yusof Rasid, 49, pekerja kilang dari Felda Soeharto berkata mengikut jadual pemberian suntikan kepada pengunjung yang hadir terus hanya bermula jam 2 petang namun dia mencuba nasib datang seawal jam 10 pagi.

Mat Yusof Rashid, 49

“Saya datang awal kerana bawa isteri, Haliza Halwi yang sukar bergerak kerana ada penyakit kencing manis, darah tinggi dan sakit saraf, mudah kalau dapat selesai di sebelah pagi.

“Nasib kami baik apabila dibenarkan terima suntikan pada sebelah pagi, lega urusan kami dipermudahkan,” katanya ketika ditemui di Dewan Orang Ramai Hulu Bernam di sini.

Penjaga kuil Bala Veloo,58, berterima kasih kepada Kerajaan Negeri yang menyediakan pemberian pelalian menerusi Selvax Komuniti yang memudahkan penduduk di luar bandar.

Bala Veloo, 58

“Bulan lalu saya ada dapat janji temu melalui vaksin bawah kerajaan persekutuan tetapi di Taiping, Perak, saya tolak kerana tiada pengangkutan ke sana.

“Lega saya kerana sudah dapat vaksin dan ini persediaan untuk meningkatkan perlindungan diri sebelum kuil kembali dibuka untuk orang ramai,” katanya yang berasal dari Taman Danau, Hulu Bernam.

Bagi pekerja kedai aksesori kenderaan, Fong Pei San, 37, pemberian vaksin di bawah Selvax Komuniti DUN Hulu Bernam berjalan lancar dan memudahkan orang ramai yang tidak perlu menunggu lama.

Fong Pei Sun, 37

“Semua berjalan dengan lancar bermula dari pendaftaran sehingga pemantauan kesihatan selepas disuntik,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Teruja mahu dapatkan vaksin negeri, penduduk datang satu jam awal

HULU SELANGOR, 9 OGOS: Teruja untuk mendapat suntikan pelalian Covid-19 menyebabkan orang ramai hadir satu jam awal dalam program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Bernam hari ini.

Penyelaras DUN berkata penduduk mula berkumpul di hadapan Dewan Orang Ramai Hulu Bernam sejak jam 8 pagi walaupun pendaftaran hanya dibuka sejam kemudian, namun mereka kekal mematuhi tatacara operasi piawai.

Menurut Amran Sakir ada juga yang hadir terus (walk in) dengan tiba pada sebelah pagi walaupun pemberian pelalian kepada kumpulan itu hanya dijadualkan jam 2 petang.

“Mereka tetap diberi vaksin pada sebelah pagi bagi mengelakkan mereka menunggu terlalu lama.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Bernam, Amran Sakir

“Ramai datang awal mungkin kerana teruja mendapat vaksin lebih-lebih lagi dalam keadaan kes harian Covid-19 semakin meningkat,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Amran berkata pusat khidmat DUN Hulu Bernam menyediakan 40 sukarelawan untuk melancarkan perjalanan program dua hari berakhir esok itu kerana menjangkakan kehadiran pengunjung ramai.

“Seramai 2,100 orang mendaftar menerusi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) manakala 400 lagi disasarkan hadir terus.

“Kehadiran sukarelawan membantu melancarkan proses hari ini, banyak masalah terutama membabitkan pengunjung tidak memuat naik aplikasi SELangkah kerana tidak mengetahui caranya serta tiada telefon pintar,” jelasnya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Penduduk Batang Kali hadir seawal 7 pagi untuk Vaksin Selangor

HULU SELANGOR, 8 OGOS: Program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali menerima sambutan menggalakkan penduduk hari ini susulan pemberian
suntikan kepada 1,447 individu semalam.

Penyelaras DUN, Saifuddin Shafi Muhammad berkata orang ramai mula hadir ke Dewan Dato Abdul Hamid di sini seawal jam 7 pagi tadi bagi mendapatkan suntikan pelalian.

“Hari ini kita menjangkakan 1,500 individu lagi akan divaksin dan kita harapkan dapat meningkatkan lagi peratus imuniti kelompok di Hulu Selangor, difahamkan setakat ini ia sudah mencecah 60 peratus,” katanya ketika ditemui SelangorKini hari ini.

Penyelaras DUN Batang Kali, Saifuddin Shafi Muhammad bercakap kepada SelangorKini ketika program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti DUN Batang Kali di Dewan Dato’ Abdul Hamid, Hulu Selangor pada 8 Ogos 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Beliau berkata walaupun di Hulu Selangor mempunyai dua Pusat Pemberian Vaskin (PPV) berskala besar iaitu di Serendah dan Bukit Beruntung namun program Selvax masih mendapat sambutan luar jangkaan.

“Kita hantar lebih 2,000 nama kepada Selcare sebelum ini dan dalam tempoh itu ada antara mereka yang datang terus ke PPV lain tetapi jumlah yang hadir ke program Selvax masih ramai,” katanya.

Saifuddin berkata lebih separuh peserta menggunakan pendekatan daftar terus dan menyebabkan pihaknya menggunakan 110 petugas untuk memastikan kelancaran program.

Pada 30 Jun, Kerajaan Selangor melancarkan Selvax Komuniti dan Selvax Industri bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian penduduk negeri ini.

Program itu bakal memanfaatkan 1.25 juta penduduk di Selangor yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas dan pekerja industri.

Categories
ADN AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Galak kerjasama wakil rakyat, tingkat jumlah penerima Selvax Komuniti

SHAH ALAM, 6 OGOS: Ahli Dewan Negeri (ADN) digalakkan bekerjasama bagi membantu meningkatkan jumlah penerima pelalian menerusi program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti.

Eksekutif pembangunan perniagaan Selgate Corporation Aznil Nor Rashed berkata kerjasama antara setiap wakil rakyat di yakini dapat menambah jumlah penerima vaksin Covid-19.

“Setiap wakil rakyat mempunyai kuota mereka tetapi mungkin ada penduduk di DUN tersebut tidak dapat hadir untuk mendapatkan vaksin.

“Oleh demikian, kita mencadangkan penerima yang tidak dapat hadir boleh datang ke program Selvax Komuniti di mana-mana DUN berhampiran bagi mendapatkan suntikan,” katanya kepada SelangorKini.

Kerajaan Negeri menyediakan 500,000 dos vaksin menerusi Selvax Komuniti untuk dimanfaatkan 250,000 penduduk negeri ini.

Manakala sebanyak dua juta dos vaksin pula kepada pekerja termasuk warga asing bagi mengawal perebakan wabak di tempat kerja menerusi Selvax Industri.

Usaha melibatkan kos bernilai RM200 juta itu diiktiraf kerajaan persekutuan dan terangkum dalam kerangka Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK)  yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas serta pekerja industri.