Categories
AGENDA NASIONAL

Pelarian UNHCR antara penerima Vaksin Selangor di PPV UIAM

GOMBAK, 18 OGOS: Sebanyak 10,000 dos disediakan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini, menerusi program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti.

Pengarah PPV Dr Muhammad Faris Abdullah berkata 5,000 daripada jumlah itu digunakan untuk suntikan dos pertama bermula semalam dan hari ini manakala selebihnya dos kedua.

“Suntikan dos pertama dijalankan selama dua hari dengan semalam kita berjaya memberi vaksin kepada lebih 1,000 pelajar dan kakitangan yang belum menerima janji temu melalui MySejahtera.

“Kita menjangkakan hari ini jumlah peserta bertambah mengambil kira jumlah pendaftaran di aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) melebihi 2,500 peserta,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau menjelaskan pemberian vaksin di PPV terbabit mengutamakan penuntut dan kakitangan UIAM termasuk komuniti sekitar serta pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

“Walaupun keutamaan kepada pelajar dan kakitangan, namun golongan pelarian serta penduduk setempat tidak dipinggirkan memandangkan kebanyakan mereka menghadapi masalah untuk mendapat vaksin.

“Kita patut menjalankan tanggungjawab sebagai komuniti serta mengambil berat isu masyarakat. Sebelum ini, kita pernah bekerjasama dengan UNHCR dalam pelbagai bidang dan kali ini cuba bantu pelarian dapat vaksin,” katanya.

Kerajaan Negeri menyediakan 500,000 dos vaksin menerusi Selvax Komuniti untuk dimanfaatkan 250,000 rakyat negeri ini.

Usaha itu diiktiraf kerajaan persekutuan dan terangkum dalam kerangka Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas serta pekerja industri.