Categories
AGENDA SUKANKINI

Shah Firdaus okey, boleh berlumba hari ini

TOKYO, 8 OGOS: Kontinjen Malaysia di Sukan Olimpik Tokyo boleh menarik nafas lega selepas pelumba elit berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom disahkan cergas untuk berlumba dalam acara keirin lelaki hari ini.

Muhammad Shah Firdaus dalam satu hantaran di laman Instagram meyakinkan pengikutnya bahawa keputusan X-ray dan imbasan tomografi berkomputer (CT scan) pada bahagian tubuhnya yang cedera mendapati ia masih berada dalam keadaan baik selepas beliau terjatuh dalam perlanggaran dengan pelumba Great Britain Jack Carlin semasa pusingan pertama perlumbaan keirin di Velodrom Izu semalam.

Pelumba berusia 25 tahun itu kemudian dikejarkan ke Hospital Universiti Juntendo, Shizuoka untuk rawatan lanjut.

“Hi semua, Alhamdulillah, saya okey. Terima kasih atas sokongan dan keprihatinan anda. Doakan saya kembali pulih dan akan cuba sebaik mungkin esok (hari ini),” katanya.

Atlet kelahiran Muar itu berkata pelanggaran tidak dapat dielakkan terutamanya dalam acara keirin kerana setiap atlet akhirnya berkongsi satu matlamat utama, iaitu memenangi perlumbaan.

Pada masa yang sama, beliau juga meminta penyokongnya supaya tidak menghakimi mana-mana pelumba.

Terdahulu, dalam Saringan Dua pusingan pertama, Muhammad Shah Firdaus yang bertanding di Olimpik buat kali pertama cuba untuk meloloskan dirinya pada satu ruang antara pelumba ketika nahas itu berlaku. Pelumba Kazakhstan Sergey Ponomaryov turut terjatuh selepas tidak dapat mengelak pelumba Malaysia itu.

Perlumbaan itu terpaksa dimulakan semula selepas semua saringan selesai tetapi Muhammad Shah Firdaus dan Ponomaryov yang cedera terpaksa menarik diri.

Bagaimanapun, insiden semalam tidak menghalang Muhammad Shah Firdaus mempamerkan aksi yang bersemangat dan bertenaga dalam pusingan pertama repechage untuk berada di tempat kedua di belakang pelumba Kwesi Browne dari Trinidad and Tobago untuk menyertI rakan sepasukan Datuk Mohd Azizulhasni Awang dalam saingan suku akhir esok.

Jaguh keirin negara Azizulhasni sudah awal-awal lagi menempat slot ke suku akhir selepas memenangi Saringan Tiga pada pusingan pertama.

Dalam saingan suku akhir pada Ahad (8 Ogos), Azizulhasni akan berlumba dalam Saringan Tiga dengan Matthew Glaetzer (Australia), Stefan Boetticher (Jerman), Yuta Wakimoto (Jepun), Denis Dmitriev (Jawatankuasa Olimpik Rusia) dan Kwesi.

Muhammad Shah Firdaus pula akan berentap dengan Carlin dalam Saringan Kedua dan Maximilian Levy (Jerman), Callum Saunders (New Zealand), Jair Tjon En Fa (Surinam) dan Nicholas Paul (Trinidad and Tobago).

-BERNAMA