Categories
AGENDA NASIONAL

Lebuhraya Persisiran Pantai Barat dijangka siap 2024

SHAH ALAM, 27 SEPT: Projek Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) membabitkan tujuh jajaran di Selangor dijangka siap pada 2024, kata Perdana Menteri.

Datuk Seri Ismail Sabri berkata pembinaan itu merupakan antara projek utama yang terkandung dalam fokus kedua Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) iaitu Memperkukuh Pemangkin Pertumbuhan.

“Infrastruktur dan utiliti asas yang berkualiti dan berdaya harap seperti jalan raya, rel, bekalan air dan elektrik penting bagi merangsang pertumbuhan ekonomi, merapatkan jurang pembangunan antara wilayah dan seterusnya meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat.

“Rangkaian rel dan jalan raya bersepadu yang menghubungkan lapangan terbang dan pelabuhan dengan kawasan perindustrian, bandar dan luar bandar akan dipertingkat,” katanya ketika membentangkan RMK12 di Parlimen hari ini.

Selain WCE, beliau berkata Landasan Berkembar Lembah Klang Fasa Satu yang menghubungkan Rawang ke Salak Selatan dijangka siap pada tahun depan.

Manakala projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), katanya, akan diteruskan dan dijangka siap pada 2026.

Pada Jun tahun lalu, Ketua Bahagian Jalan Jabatan Kerja Raya Selangor Ir Zainuddin Hussain berkata projek WCE mengalami sedikit kelewatan iaitu 4.44 peratus daripada jangkaan sepatutnya disiapkan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada pertengahan Mac.

WCE sepanjang 233 kilometer (km) mula dibina pada 25 Ogos 2014 dengan kos keseluruhan sebanyak RM5.044 bilion. Daripada jumlah itu, RM3.122 bilion adalah kos bagi pakej pembinaan di Selangor manakala RM1.922 bilion lagi membabitkan pakej pembinaan di Perak.

Tujuh pakej di negeri ini meliputi laluan Banting ke Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) sepanjang 11 kilometer (km), SKVE ke Lebuhraya Shah Alam (SAE) (7.2km) dan SAE ke Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE)/Lebuhraya Persekutuan 2 (FHR2) sejauh 10.1 km.

Pakej seterusnya membabitkan laluan NKVE/FHR2 ke Lebuhraya Pintas Selat Klang Utara Baru (NNKSB) sepanjang 4.5km, NNKSB ke Kapar (9.7km), Kapar ke Assam Jawa (21.8km) dan Assam Jawa ke Tanjong Karang (29.5km).