Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MBPJ periksa tahap pematuhan SOP 34,191 premis sejak Mei

SHAH ALAM, 30 SEPT: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menjalankan pemeriksaan tatacara operasi piawai (SOP) terhadap 34,191 premis termasuk penjaja sejak 7 Mei sehingga 26 September lalu.

MBPJ menerusi kenyataan memaklumkan daripada jumlah itu 14,356 penjaja diperiksa diikuti premis perniagaan (10,389), premis makanan (3,625), kawasan pasar (2,553), premis lesen berisiko (2,147), kawasan riadah (959) dan sektor industri (162).

Timbalan Datuk Bandar Sharipah Marhaini Syed Ali berkata susulan itu sebanyak 4,071 tindakan penguatkuasaan dilaksanakan iaitu 3,626 kompaun pelbagai dikeluarkan, 230 notis penutupan, 90 sitaan dan 86 amaran lisan.

“Selain itu, 31 premis lagi diberi arahan penutupan manakala lapan kompaun dikeluarkan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya MBPJ turut merancang tindakan penguatkuasaan lebih menyeluruh akan dilaksana termasuk rondaan, pemeriksaan, pemantauan bagi memastikan orang awam dan peniaga mematuhi SOP sebaiknya.