Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pemohon RiDE melebihi kuota 3,000, pastikan individu layak terima manfaat

SHAH ALAM, 8 SEPT: Kerajaan Negeri menerima 8,011 permohonan untuk menyertai program Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) setakat September tahun ini.

EXCO Pembangunan Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman berkata proses pemilihan peserta perlu dibuat dengan teliti kerana inisiatif itu hanya menyediakan 3,000 kuota.

“Sambutan yang diterima amat menggalakkan, justeru kita kena pastikan hanya mereka yang benar-benar layak terpilih menerima manfaat tersebut.

“Syarat ditetapkan antaranya pemohon perlu berusia bawah 40 tahun kerana keutamaan untuk membantu generasi muda menjana pendapatan ketika negara berdepan pandemik Covid-19,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata penyertaan program RiDE masih dibuka sehingga hujung tahun ini melalui laman sesawang http://msnselangor.gov.my.

“Peluang menyertai program ini masih terbuka dan dalam masa sama Kerajaan Negeri sentiasa melakukan penambahbaikan supaya lebih ramai belia generasi muda menceburi perkhidmatan e-panggilan,” katanya.

Pada 16 Ogos, Kerajaan Negeri bersetuju memperluas program RiDE kepada individu berusia 30 hingga 40 tahun.

Keputusan dibuat berikutan ramai penghantar makanan peringkat usia tersebut yang terjejas pendapatan susulan pandemik Covid-19.

Belanjawan Selangor 2021 memperuntuk RM2 juta untuk program RiDE yang menawarkan subsidi lesen motosikal B2 berjumlah RM350, kursus e-panggilan bernilai RM150 dan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial RM70 setahun.