Categories
AGENSI SELANGOR

Program kesihatan mental kini boleh diakses dalam SELangkah

SHAH ALAM, 11 SEPT: Program Selangor Mental Sihat (SEHAT) kini boleh diakses menerusi butang khas di skrin utama dalam aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

Ketua Pegawai Eksekutif Selangkah Ventures Sdn Bhd (SVSB) berkata fungsi terbaharu itu dilaksanakan bagi menangani pelbagai isu kesihatan mental penduduk.

“SEHAT juga akan melaksanakan langkah-langkah pencegahan awal menerusi modul saringan kendiri serta bantuan psikososial daripada kaunselor profesional dan forum sokongan.

“Ciri baharu ini melengkapi vertikal kesihatan SELangkah dan pengenalannya memang tepat pada waktunya iaitu ketika musim pandemik ini,” kata Tengku Iesta Tengku Alaudin dalam kenyataan hari ini.

Antara fungsi yang boleh diteroka pengguna ialah saringan kesihatan mental, saringan risiko, video psikopendidikan, portal WhatsDoc dan skala literasi kesihatan mental.

Pada 30 Ogos Kerajaan Negeri melancarkan fungsi SEHAT dengan peruntukan RM500,000 bagi menangani isu kesihatan mental yang semakin membimbangkan sejak pandemik melanda negara.

Program itu membolehkan pengguna mengetahui tahap kesihatan mental menerusi saringan awal ‘skala tekanan’ dan ‘pemeriksaan risiko’ secara kendiri.

Ciri terkini SELangkah itu adalah hasil kerjasama SVSB dengan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (Uiam) dan WhatsDoc Sdn Bhd.