Categories
AGENSI SELANGOR

Pusat Anis bermula hari ini, lapan kanak-kanak ikuti kelas di IDCC

SHAH ALAM, 7 SEPT: Pusat Sokongan Pendidikan Awal Anak Istimewa Selangor (Pusat Anis) mula beroperasi dengan lapan kanak-kanak mulai mengikuti kelas bersama ibu bapa mereka di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini, hari ini.

Pengurus Besar Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) Gan Pei Nei berkata kesemua kanak-kanak itu adalah dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah di mana tiada yuran dikenakan kepada mereka.

“Pusat Anis telah bermula pada hari ini dengan sesi pentaksiran bersama ibu bapa dan anak istimewa mereka. Pada minggu ini kita adakan sesi pentaksiran, minggu kedua penilaian dan minggu ketiga kita akan mulakan terapi.

“Bilangan peserta yang diambil ketika ini adalah minima bagi setiap sesi kerana kita masih berada dalam situasi pandemik di mana ada tatacara operasi piawai (SOP) yang perlu diikuti,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Pei Nei berkata pendaftaran masih lagi dibuka iaitu sehingga Oktober dengan ibu bapa perlu mendaftar serta mengisi borang di www.anisselangor.com/intervensianis dan menyediakan dokumen yang diperlukan.

“Pusat Anis yang menawarkan perkhidmatan intervensi awal ini akan beroperasi Isnin hingga Khamis dan mempunyai tiga sesi iaitu 8.30 pagi hingga 10.30 pagi, 11 pagi hingga 1 tengah hari dan 2.30 petang hingga 4.30 petang.

“Setiap peserta akan menjalani sesi sebanyak seminggu sekali dan tempoh masa bagi setiap sesi ialah selama dua jam. Tempoh masa yang diperuntukkan kepada pemohon yang berjaya untuk menjalani sesi intervensi awal ialah selama 12 bulan sahaja,” katanya.

Menurut Pei Nei yuran pengajian Pusat Anis ini adalah percuma kepada keluarga yang berpendapatan RM5,000 ke bawah.

Manakala, bagi yang berpendapatan RM5,001 hingga RM6,000 dikenakan bayaran RM50; RM6,001 hingga RM8,000 pula RM70 dan RM8,001 hingga RM10,000 ialah RM90.

Jelas beliau, bagi mereka yang mempunyai lebih seorang anak istimewa dan berpendapatan RM5,001 hingga RM8,000 diskaun sebanyak 50 peratus diberikan, manakala bagi pendapatan RM8,001 hingga RM10,000 diskaun sebanyak 30 peratus.

Pada 21 Ogos, Kerajaan Selangor menubuhkan pusat sokongan pendidikan untuk kanak-kanak istimewa dalam lingkungan usia dua hingga enam tahun di negeri ini.

EXCO pembangunan wanita dan keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata perkhidmatan Pusat Sokongan Pendidikan Awal Anak Istimewa Selangor (Pusat Anis) meliputi saringan, pengesanan awal dan intervensi.