Categories
AGENDA NASIONAL

Tiada arahan tarik lesen memandu warga emas, umur bukan faktor kemalangan

KUALA LUMPUR, 28 SEPT: Kementerian Pengangkutan tidak pernah mengarahkan warga emas berusia lebih 70 tahun mengembalikan lesen memandu kenderaan.

Menterinya Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata ini kerana faktor umur tersebut bukan penyebab utama kemalangan sebaliknya dipengaruhi pelbagai faktor lain.

“Ini bukan pendirian kementerian dan kita tidak berhajat untuk menukar akta sedia ada kerana kecekapan memandu bukan berdasarkan faktor umur.

“Kecekapan memandu adalah berlainan. Sebagai contoh, Yang Berhormat Langkawi (Tun Dr Mahathir Mohamad), beliau boleh memandu jauh lebih baik berbanding ramai individu lain,” katanya dalam sesi pertanyaan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Ledang Syed Ibrahim Syed Noh mengenai tindakan untuk menangani isu kemalangan di bawah pengaruh alkohol atau dadah serta syor berkaitan syarat khas lesen memandu warga emas.

Ka Siong berkata kerajaan tidak akan melakukan diskriminasi terhadap individu berusia lebih 70 tahun.