Categories
AGENDA NASIONAL

Batal permit institut memandu jika ramai pemegang lesen buat salah, terlibat nahas

KOTA BHARU, 30 JAN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan membatalkan atau menggantung permit institut memandu (IM) sekiranya ramai pemegang lesen yang dilatih mereka didapati melakukan kesalahan trafik dan terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Zailani Hashim berkata langkah itu akan dilaksanakan dengan meletakkan  kod pada lesen yang dikeluarkan  ini bagi mengesan daripada institut memandu mana pesalah trafik itu menerima latihan.

Bagaimanapun, beliau berkata kaedah itu masih dalam peringkat cadangan dan dijangka disenaraikan di bawah sistem e-Testing yang bermula di seluruh negara April tahun ini.

“Kita akan buat satu jejak audit apakah kesilapan atau apa-apa yang tidak betul sama ada infrastruktur yang tidak lengkap atau apakah sebab hingga disaman dan dibuat dalam konsep pendigitalan JPJ,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Perasmian Penutup Kursus Pensijilan Pengajar Institut Memandu (SPIM) Baharu dan Kursus Pensijilan Pengajar Institut Memandu (SPIM) di Akademi Memandu Anda Sdn Bhd, Melor, di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Akademi Pengangkutan Jalan Malaysia Muhammad Kifli Ma Hassan, Pemangku Pengarah JPJ Kelantan Nik Azahan Ab Hadi dan Pengarah Urusan Akademi Memandu Anda Sdn Bhd, Kamaruddin Hassan.

Mengulas lanjut Zailani berkata berdasarkan rekod sedia ada terdapat 10,569 pengajar SPIM di Malaysia disijilkan selari dengan Kaedah 11 (4) Kaedah-kaedah Kenderaan Motor (Sekolah Memandu) 1992.

“Walau bagaimanapun terdapat lebih kurang 1,779 permohonan tertunggak yang masih belum diselesaikan akibat daripada sekatan aktiviti program seperti pelaksanaan kursus, seminar, bengkel, latihan dan ceramah yang dikuatkuasakan oleh pihak kerajaan,” katanya.

Beliau berkata berdasarkan statistik yang direkodkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Polis Diraja Malaysia dan JPJ sebanyak 80 peratus punca kemalangan jalan raya adalah sebabkan faktor kecuaian oleh manusia.

Katanya, kebanyakan yang terlibat dalam kemalangan adalah motosikal iaitu lebih 60 peratus.

— BERNAMA

 

Categories
ADN SELANGOR

Subsidi lesen memandu vokasional bela kebajikan penduduk Batang Kali

SHAH ALAM, 17 DIS: Usaha memelihara kebajikan penduduk Batang Kali diteruskan tahun depan dengan tawaran subsidi lesen memandu vokasional kepada individu hilang pekerjaan ekoran pandemik Covid-19.

Pegawai penyelaras Dewan Undangan Negeri Batang Kali berkata golongan terkesan mampu menjana pendapatan apabila memiliki lesen kenderaan perkhidmatan awam (PSV) bagi kenderaan e-panggilan dan kenderaan barangan (GDL).

Menurut Saifuddin Shafi Muhammad pihaknya akan bekerjasama dengan syarikat pemandu tempatan bagi menggerakkan inisiatif yang dijangka menarik minat antara 50 hingga 100 individu.

“Kita sedar ramai hilang kerja disebabkan pandemik, lebih malang apabila mereka adalah ketua keluarga dan perlu menanggung keluarga. Jadi, kita tekad bantu mereka yang sudah ada lesen penuh untuk dinaik taraf kepada lesen vokasional.

“Dengan adanya lesen ini, mereka boleh bekerja dalam perkhidmatan e-panggilan atau penghantaran barang sekali gus menjana semula pendapatan,” katanya ketika dihubungi Selangorkini.

Beliau menambah pihaknya juga merancang menyediakan pakej bantuan subsidi bas sekolah kepada pelajar sekolah kurang berkemampuan.

“Mungkin sebahagiannya ada di bawah portfolio EXCO kerajaan prihatin (bas percuma), namun yang ini kita mahu laksana khusus untuk penduduk Batang Kali,” katanya.

Saifuddin Shafi turut memaklumkan perancangan mewujudkan sebuah pusat latihan bola sepak yang lebih baik untuk kegunaan orang muda sekitar kawasan terbabit berikutan kemudahan sedia ada terlalu jauh.

“Inisiatif ini secara tidak langsung dapat melahirkan bakat bola sepak dari peringkat akar umbi,” katanya.

Pada 26 November lalu, Dato’ Menteri Besar ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2022 memaklumkan peruntukan Ahli Dewan Negeri pembangkang naik hampir tiga kali ganda tahun depan sehingga RM400,000 berbanding RM150,000 ketika ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata dana wakil rakyat bebas yang menyokong negeri pula akan ditingkatkan sehingga RM500,000 manakala baki peruntukan diselaras oleh penyelaras lantikan Kerajaan Negeri.

Categories
AGENDA NASIONAL

Tiada arahan tarik lesen memandu warga emas, umur bukan faktor kemalangan

KUALA LUMPUR, 28 SEPT: Kementerian Pengangkutan tidak pernah mengarahkan warga emas berusia lebih 70 tahun mengembalikan lesen memandu kenderaan.

Menterinya Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata ini kerana faktor umur tersebut bukan penyebab utama kemalangan sebaliknya dipengaruhi pelbagai faktor lain.

“Ini bukan pendirian kementerian dan kita tidak berhajat untuk menukar akta sedia ada kerana kecekapan memandu bukan berdasarkan faktor umur.

“Kecekapan memandu adalah berlainan. Sebagai contoh, Yang Berhormat Langkawi (Tun Dr Mahathir Mohamad), beliau boleh memandu jauh lebih baik berbanding ramai individu lain,” katanya dalam sesi pertanyaan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Ledang Syed Ibrahim Syed Noh mengenai tindakan untuk menangani isu kemalangan di bawah pengaruh alkohol atau dadah serta syor berkaitan syarat khas lesen memandu warga emas.

Ka Siong berkata kerajaan tidak akan melakukan diskriminasi terhadap individu berusia lebih 70 tahun.

Categories
AGENDA NASIONAL

Tarik balik, had lesen memandu berdasarkan umur pilihan terakhir

PUTRAJAYA, 26 SEPT: Menarik balik atau mengehadkan lesen kepada individu berdasarkan umur mereka seharusnya merupakan pilihan terakhir selepas tahap kecergasan seseorang untuk memandu disahkan secara telus menerusi satu ujian yang diiktiraf, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong semalam.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam, Wee ketika mengulas cadangan untuk mengehadkan pengeluaran Lesen Memandu Malaysia (LMM) kepada warga emas berusia 70 tahun dan ke atas, berkata ramai pemandu berusia lebih 70 tahun mempamerkan kemahiran memandu lebih baik berbanding pemandu lebih muda.

“Satu sudut yang lebih meluas, lebih menyeluruh termasuk keperluan pergerakan dan faktor sosioekonomi lain patut difikirkan, bukan hanya faktor usia,” kata beliau.

Beliau berkata keistimewaan LLM diberikan oleh pihak berkuasa pengangkutan jalan sebagai satu akreditasi kepada seseorang yang sudah mempamerkan kebolehan untuk mengendalikan sesebuah kenderaan di atas jalan raya dengan memuaskan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

Seksyen 30 Akta 333 juga menyatakan pemegang lesen boleh menyerahkan lesen mereka di mana-mana pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan secara sukarela atas faktor kesihatan yang mungkin boleh membahayakan pengguna jalan raya lain, kata beliau.

Mengenai laporan yang mencadangkan untuk mengehadkan pengeluaran Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau lebih dikenali sebagai “Cukai Jalan” kepada mereka yang berumur 70 tahun dan ke atas, Wee berkata seorang individu boleh sahaja meminjam kenderaan pemilik lain untuk mengelak peraturan itu.

Wee berkata sebarang perubahan dasar berkaitan LMM dan LKM perlu ditangani secara sistematik, pendekatan berasaskan bukti dan ditangani secara berpandangan jauh.

“Dengan menafikan seorang pemandu keperluannya untuk memandu dengan alasan faktor umur mereka atau bukti yang terpencil atau menggunakan anekdot adalah satu diskriminasi,” katanya.

Sebelum ini dilaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencadangkan kepada kerajaan supaya mengehadkan pengeluaran LKM kepada warga emas memandangkan faktor kesihatan seseorang warga emas boleh menyumbang kepada kemalangan jalan raya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

JPJ beri jaminan stok lesen di seluruh negara cukup

KUALA LUMPUR, 14 SEPT: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memberi jaminan pembekalan dan pengedaran stok Lesen Memandu Malaysia (LMM) dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) oleh jabatan itu serta baki stok yang dimiliki oleh rakan strategiknya adalah mencukupi.

JPJ dalam kenyataan hari ini berkata stok dokumen terkawal yang dimiliki PUSPAKOM Sdn Bhd (PUSPAKOM), Pos Malaysia dan MY E.G. Services Bhd (MYEG) itu turut mampu memenuhi kehendak seluruh pelanggan untuk tempoh sehingga 31 Dis tahun ini.

“Sepanjang Ogos lepas, pihak JPJ telah membekalkan sejumlah stok dokumen terkawal yang mencukupi kepada semua rakan strategik JPJ termasuklah sebanyak 450,000 stok LKM Motokar dan 8,400 stok LKM Motosikal serta 6,600 stok LMM diberikan kepada MyEG.

“Pos Malaysia pula menerima 385,000 stok LKM Motokar, 287,999 LKM Motosikal dan 300,000 LMM, manakala PUSPAKOM diberikan 5,500 stok LKM Motokar,” menurut kenyataan itu.

Menurut JPJ, sehingga hari ini didapati baki stok dokumen terkawal JPJ adalah masih mencukupi bagi tujuan menampung keperluan untuk urusan pembaharuan atau transaksi LKM dan LMM, di semua lokasi premis rakan-rakan strategik JPJ tersebut.

Di MyEG, masih terdapat 100,827 stok LKM Motokar, 10,843 LKM Motosikal dan 26,648 LMM, manakala Pos Malaysia pula 365,518 LKM Motokar, 142,871 LKM Motosikal dan 789,274 LMM, dan  PUSPAKOM pula 11,950 LKM Motokar.

Kenyataan itu juga memaklumkan Ketua Pengarah JPJ Datuk Zailani Hashim hari ini membuat lawatan mengejut di Pejabat Pos Malaysia, Sri Kembangan, Selangor bagi melihat pengoperasian urus niaga JPJ dan aspek pengedaran dan pembekalan stok dokumen LKM dan LMM bagi memastikan ia berjalan dengan cekap dan lancar.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Tempoh baharui lesen memandu, cukai jalan dilanjut hingga 31 Disember

PUTRAJAYA, 3 SEPT: Tempoh moratorium lanjutan pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) dilanjutkan hingga 31 Dis ini, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Bagaimanapun, katanya pemilik LKM yang tamat tempoh sah perlu memastikan kenderaan masing-masing dilindungi insurans sah dan menunjukkan sijil perlindungan insurans bagi tujuan pemeriksaan.

Sebelum ini, tempoh pembaharuan LKM dan LMM ditetapkan hingga 30 Sept ini dan boleh diperbaharui melalui kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Pos Malaysia Bhd, MyEG Services Sdn Bhd (MyEG) dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

Dengan mengambil kira maklum balas orang ramai, Wee berkata kementerian juga bersetuju untuk membuka semula kaunter JPJ dan Puspakom dengan kapasiti 100 peratus, iaitu secara “walk in” (jumpa terus) bermula Isnin ini (6 Sept) bagi semua urusan berkaitan.

“Mulai 6 Sept juga, JPJ akan menghentikan sistem janji temu dalam talian. Pelanggan yang ingin berurusan di kaunter mesti mendapat vaksinasi lengkap dan menunjukkan status risiko rendah Covid-19 dalam aplikasi MySejahtera,” katanya pada sidang media berkenaan perkara itu di Kementerian Pengangkutan (MOT) hari ini.

Kata Wee, orang ramai juga digalakkan menggunakan perkhidmatan dalam talian menerusi portal mySIKAP JPJ atau melalui khidmat Pos Malaysia, MyEG, Puspakom untuk membuat apa-apa transaksi JPJ yang berkaitan.

“Ini bertujuan mengelakkan kesesakan di kaunter JPJ dan memberi kemudahan dan kesenangan kepada orang ramai memperbaharui LKM dan LMM,” katanya.

Dalam pada itu, MOT juga mengingatkan orang ramai supaya mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan ketika berurusan di kaunter bagi mengelakkan jangkitan Covid-19.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Cukai jalan, lesen memandu boleh diperbaharui di pejabat pos mulai Isnin

KUALA LUMPUR, 7 OGOS: Urusan pembaharuan cukai jalan dan lesen memandu kini boleh dilaksanakan di pejabat pos mulai Isnin depan (9 Ogos) secara janji temu bagi mengelakkan kesesakan.

Pos Malaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan janji temu boleh dibuat secara dalam talian melalui ciri Outlet Finder di http://www.pos.com.my atau aplikasi mudah alih Pos Malaysia mulai esok (8 Ogos) dengan membuat pilihan negeri, cawangan pejabat pos dan klik pada pautan yang tersedia.

“Setiap pelanggan hanya dibenarkan menempah satu slot janji temu sehari dan menjalankan tidak lebih daripada tiga urus niaga pada setiap janji temu.

“Para pelanggan diminta untuk mematuhi tatacara operasi piawai seperti memakai pelitup muka, pemeriksaan suhu, pengimbasan kod MySejahtera dan penjarakan fizikal satu meter ketika mengunjungi premis kami dan elakkan daripada mengunjungi pejabat pos sekiranya berasa tidak sihat atau mengalami gejala Covid-19,” menurut kenyataan itu.

Untuk sebarang pertanyaan, pelanggan boleh menghubungi menerusi AskPos di http://www.pos.com.my atau seperti yang tertera di skrin utama aplikasi mudah alih Pos Malaysia.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis nafi penunggang motosikal disaman akibat cukai jalan tamat tempoh

KUALA LUMPUR, 23 MAC: Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) menafikan seorang penunggang motosikal dikenakan tindakan saman atas kesalahan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh tetapi kerana gagal mempamerkan LKM.

Pengarah JSPT Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata penunggang berkenaan dikenakan tindakan saman di bawah Seksyen 20(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 di Kilometer 11.9 Jalan Labohan Dagang-Nilai semasa sekatan jalan raya pada Jumaat lepas, 8.45 malam.

Beliau berkata hasil semakan mendapati LKM dan insurans motosikal terbabit masih sah tetapi lesen memandu penunggang motosikal iaitu orang kena saman (OKS) tamat tempoh pada 26 Dis tahun lepas dan hanya nasihat sahaja diberikan polis.

“Adalah tidak menjadi kesalahan pegawai polis tersebut mengeluarkan saman bagi kesalahan tidak pamer LKM kerana ia tidak termaktub sepertimana arahan Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) yang memberikan pengecualian untuk pembaharuan LKM dan lesen memandu kompeten (CDL) yang tamat tempoh pada masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0) bermula 1 Feb hingga 31 Mac 2021.

“Semasa kejadian tiada sebarang bukti dokumen LKM dan insurans (e-cover note atau e-nota perlindungan insurans) ditunjukkan oleh OKS sepertimana yang dinyatakan oleh pihak Persatuan Wakil Takaful Am Muslim (Perwatam),” katanya dalam kenyataan semalam.

Azisman berharap penjelasan ini dapat menjernihkan kekeliruan yang timbul dan menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang andaian dan spekulasi sendiri tanpa merujuk kepada pihak berwajib.

Semalam, media tempatan melaporkan Perwatam mempertikaikan tindakan polis menyaman seorang lelaki kerana gagal mempamerkan LKM, Jumaat lepas.

Pengerusinya, Hishamuddin Abd Aziz, dalam kenyataan dilaporkan berkata lelaki terbabit yang juga pelanggan Perwatam, dikatakan menunjukkan bukti e-nota perlindungan insurans dan memaklumkan kepada pihak polis mengenai pengecualian pembaharuan LKM itu.

Namun, beliau berkata pegawai polis tersebut didakwa memaklumkan LKM perlu juga diperbaharui dan dipamerkan sebelum mengeluarkan saman atas kesalahan tidak mempamerkan LKM.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan kecualikan pembaharuan lesen memandu dari Februari hingga Mac

KUALA LUMPUR, 29 JAN: Kerajaan memberikan pengecualian kepada semua pemilik kenderaan persendirian berhubung pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Kompeten (CDL) berkuat kuasa 1 Feb hingga 31 Mac.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata pemandu bagaimanapun perlu memastikan kenderaan mereka memiliki perlindungan insurans yang sah dan menunjukkan salinan sijil perlindungan kepada anggota penguat kuasa trafik sekiranya diminta.

“Pemegang LKM dan CDL yang telah atau bakal tamat tempoh hendaklah memperbaharui lesen masing-masing dalam masa 30 hari selepas tempoh pengecualian diberikan iaitu hingga 30 April 2021,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wee berkata pengecualian itu dibuat bagi mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam usaha mengurangkan kesesakan di tempat awam.

Bagaimanapun, pengecualian tidak diberikan kepada pemilik kenderaan perdagangan dan pemegang Lesen Vokasional (GDL dan PSV) kerana perkhidmatan pembaharuan berkaitan mereka dibenarkan beroperasi sebagai perkhidmatan perlu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengecualian memperbaharui LKM dan CDL pernah dilaksanakan dari 25 Mac hingga 30 Sept tahun lepas semasa tempoh PKP 1.0.

Wee juga mengingatkan orang ramai agar menjadi pemandu berhemah dan mematuhi SOP yang ditetapkan MKN sepanjang tempoh PKP.

-BERNAMA

 

Categories
KENYATAAN MEDIA

Kenaikan harga lesen memandu tidak masuk akal

Oleh: Afzanizam Hashim

Kenaikan harga lesen daripada memandu kereta ke tahap RM2,000 dan Motorsikal ke tahap RM1,000 adalah sangat tidak masuk akal. Kenaikan mendadak ini juga mendatangkan reaksi negatif daripada pelbagai pihak khususnya anak muda.

lesenSAMM Pulau Pinang dengan ini menggesa pihak berwajib supaya kenaikan ini dibatalkan segera.

Pihak kerajaan yang dipimpin Umno Bn juga harus peka dengan permasalahan anak muda dalam keadaan ekonomi yang gawat dengan kenaikan pelbagai harga barang ketika ini.

Apakah tabung negara sudah kontang dikerjakan pihak tertentu hingga memaksa rakyat khususnya anak muda mengeluarkan lebihan wang untuk lesen memandu?

Pemimpin negara dilihat bermewahan, malah anak menteri dilihat menaiki Lamborghini yang bernilai lebih RM3 juta ringgit. Ketika yang sama anak muda lain pula dihukum dengan kenaikan kadar lesen baru yang amat membebankan.

SAMM P.Pinang membantah kenaikan ini dan akan melancarkan kempen bantahan di peringkat Pulau Pinang dalam pelbagai bentuk aksi.
* Afzanizam Hashim adalah Penyelaras Bersama Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Pulau Pinang