Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Data internet percuma ceriakan calon SPM, bantu mudahkan pembelajaran

KAJANG, 26 OKT: Seperti pelajar lain, penutupan sekolah seluruh negara sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menuntut D. Dibashini mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) secara maya.

Namun, proses pembelajaran remaja berusia 17 tahun itu sering terganggu gara-gara langganan pas internet RM4 setiap dua hari sering kehabisan kuota ekoran terpaksa berkongsi dengan dua adiknya.

Situasi itu meresahkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cheras Jaya yang mengakui kadangkala terpaksa ponteng PdPR berikutan kekangan tersebut.

Namun keceriaan terukir di wajah anak sulung daripada tiga beradik hari ini apabila menerima kad modul pengenalan pelanggan (SIM) percuma yang dibiayai sepenuhnya Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI selama setahun.

Dibashini berkata dia gembira kerana terpilih sebagai salah seorang penerima kad SIM yang dilengkapi internet 15 gigabit (GB) setiap bulan selepas permohonan dibuat kepada Ahli Dewan Negeri Balakong Wong Siew Kii awal bulan lalu.

ADN Balakong Wong Siew Ki menyantuni penerima kad sim percuma yang hadir di Pusat Khidmat ADUN Balakong Taman Kasturi, Kajang pada 26 Oktober 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Sebelum ini saya rasa susah hati untuk masuk kelas Google Meet dan pernah berputus asa. Mana tidaknya, kuota internet sedia ada cepat habis… kadang-kadang tak sampai dua hari sebab bukan saya seorang sahaja guna.

“Tetapi hari ini saya bersyukur, bantuan ini akan menyuntik semangat untuk belajar bersungguh-sungguh memandangkan akan menduduki SPM tahun depan,” katanya ditemui di pejabat pusat khidmat masyarakat Dewan Undangan Negeri Balakong di sini.

Sementara itu, ibunya, B. Kumutha, 38, berterima kasih kepada Kerajaan Selangor kerana menyediakan kemudahan tersebut kepada dua anaknya termasuk Dibashini.

Suri rumah yang menetap di Cheras Prima turut berharap kedua-dua anaknya memanfaatkan kad SIM tersebut untuk tujuan pembelajaran seterusnya membanggakan orang tua.

Terdahulu, seramai 46 penduduk sekitar Balakong menerima kad SIM Celcom dengan kesemuanya pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) yang memiliki adik-beradik ramai.

Pada 4 Ogos lalu, Dato’ Menteri Besar mengumumkan seramai 70,000 rakyat negeri ini bakal menikmati kad SIM dan data internet percuma selama 12 bulan dengan peruntukan RM17.5 juta.

Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan sebanyak 200 kad SIM diagih ke setiap DUN untuk diberi kepada individu yang layak.