SHAH ALAM, 29 OKT: Sejak 2008, Kerajaan Selangor telah melaksana satu agenda besar untuk berkongsi hasil mahsul negeri terkaya di negara ini dengan rakyatnya.
Agenda itu pada mulanya dikenali Merakyatkan Ekonomi Selangor, berevolusi menjadi Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) dan kini sebagai Sistem Smart Inisiatif Peduli Rakyat (SSIPR).
Bermula dengan tujuh inisiatif, agenda itu bertambah kepada 33 inisiatif sekali gus berjaya
memanfaatkan jutaan rakyat Selangor selama 13 tahun.
Untuk maklumat lanjut, pendaftaran dan semakan, boleh layari laman sesawang
ssipr.selangor.gov.my
Wartawan NADIAH ZAMLUS menyenaraikan inisiatif SSIPR yang menjadi tulang belakang negeri dalam usaha mendahulukan rakyat.
KEBAJIKAN
Kasih Ibu Smart Selangor (KISS)
- RM200 sebulan selama setahun untuk ibu kumpulan B40 membeli keperluan asas. Khusus untuk wanita berkahwin atau ibu tunggal, pendapatan bulanan bawah RM2,000
WiFi Smart Selangor
- internet percuma di 3,600 akses meliputi rumah kos rendah dan sederhana, pusat pendidikan, kesihatan, keagamaan, agensi dan syarikat Kerajaan Negeri
Skim Air Darul Ehsan
- 20 meter padu air percuma kepada golongan sasar iaitu pendapatan RM4,000 ke bawah dan premis kediaman adalah meter individu
Bas Smart Selangor
- percuma kepada warganegara; warga asing dikenakan caj RM1
Bantuan Kebajikan Masyarakat
- bantuan sementara RM350 untuk rakyat berhadapan masalah hidup
Pengecualian Cukai Pintu Rumah Kampung
- rumah kos rendah dan kediaman kampung dikecualikan cukai pintu
Pengecualian Fi Lesen Penjaja
- pengecualian bayaran fi lesen bagi lesen gerai, pasar dan kios majlis, juga lesen pondok bas, penjaja, pasar malam, pagi dan pasar swasta
Bantuan Bina dan Baiki Rumah
- bantuan bina dan baiki kediaman. Pendapatan tidak lebih RM1,500
Jom Shopping Perayaan
- baucar beli belah untuk isi rumah
- pendapatan RM1,500 ke bawah
- sempena Aidilfitri, Tahun Baharu Cina atau Deepavali
KESIHATAN
Skim Insurans Peduli Sihat
- kemudahan insurans asas perlindungan kematian, penyakit kronik dan hilang upaya kekal. Pemohon berdaftar sebagai penerima Bantuan Sara Hidup di bawah kategori pendapatan bawah RM2,000
Bantuan Sihat Selangor
- rawatan dialisis buah pinggang, pembedahan kecil, katarak mata, kaki palsu serta bantuan peralatan kesihatan. Pendapatan tidak lebih RM3,000
Skim Kesihatan Wanita
- pemeriksaan mammogram percuma untuk wanita 35 tahun ke atas yang menetap di Selangor sekurang-kurangnya 10 tahun
KEKELUARGAAN
Skim Asuh Pintar
- RM100 bantuan yuran taska atau nurseri untuk anak usia empat tahun ke bawah. Terhad kepada dua anak setiap keluarga dan pendapatan isi rumah bawah RM5,000
Skim Mesra Usia Emas
- khusus kepada penduduk berusia 60 tahun ke atas, dapat khairat kematian RM500, waris perlu daftar dengan Yayasan Warisan Anak Selangor
Skim Bantuan Tadika
- RM50 setiap bulan kepada ibu bapa yang hantar anak ke tadika berdaftar dengan Majlis Permuafakatan Tadika Selangor. Untuk anak berumur lima atau enam tahun sahaja dan pendapatan keluarga RM3,000 ke bawah
Perpustakaan Bergerak Smart Selangor
- kemudahan bacaan untuk pelajar di perumahan kos rendah bagi memupuk budaya membaca
Tabung Warisan Anak Selangor
- program khas untuk anak berusia tiga tahun ke bawah. Setiap ahli akan terima RM1,500 apabila berusia 18 tahun
Insentif Generasi Muda Selangor (GEMS)
- kursus khas untuk mereka berkeluarga beserta pemberian wang insentif. Pasangan berusia 40 tahun ke bawah dan tinggal di Selangor lebih 10 tahun
PERUMAHAN
Skim Rumah Selangorku
- boleh mohon rumah bernilai tak lebih RM250,000. Untuk rumah jenis A pendapatan sebulan tak lebih RM3,000 sementara rumah jenis B,C dan D pendapatan antara RM3,001 hingga RM10,000
Skim Dana Sel
- bantu golongan pendapatan rendah tidak layak atau gagal dapat pinjaman beli rumah daripada bank
Skim Ceria
- baik pulih kerosakan rumah kos sederhana rendah di negeri ini dan bantu badan pengurusan bersama (JMB) urus kerja sivil, selenggara lif. Antara kerja baik pulih termasuk bagi taman permainan, tebang pokok, tiang lampu, jalan dan tempat letak kereta
Skim Smart Sewa
- sewa rumah yang hendak dibeli dengan kadar RM600 hingga RM650 sebulan. Pendapatan tidak lebih RM5,000 untuk rumah jenis A atau kos rendah. Bagi rumah jenis B,C dan D pendapatan tidak lebih RM10,000
PEKERJAAN DAN PERNIAGAAN
Latihan Usahawan IT (SIDEC)
- terbuka kepada usahawan yang ingin berniaga secara dalam talian
Dana Usahawan Mikro
- bantu usahawan mikro yang beroperasi sudah lebih dua tahun, antara ditawarkan ialah daftar produk, pengujian produk atau proses mendapatkan sijil halal
Bantuan Blueprint
- bantuan peralatan niaga untuk tingkatkan pendapatan golongan kurang mampu. Golongan sasar dalam sektor jahitan, perniagaan makanan dan kraftangan
- Syaratnya perniagaan sudah setahun dan pendapatan isi rumah tidak lebih RM3,000 atau pendapatan sendiri tidak lebih RM1,500
Skim Hijrah
- sediakan modal yang mudah dan cepat untuk penjaja dan peniaga kecil untuk mereka berusia 18 hingga 60 tahun dan miliki premis niaga, ada lesen atau permit niaga sah
PENDIDIKAN
Program Khas Peduli Siswa
- pinjaman tanpa faedah RM4,900 hingga RM7,000 setahun untuk diploma, ijazah sarjana muda dan ijazah perubatan untuk mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia atau Universiti Kebangsaan Malaysia atau Universiti Putra Malaysia atau Universiti Teknologi Mara
Program Tuisyen Rakyat Selangor
- kelas tambahan untuk pelajar berpendapatan RM2,000 ke bawah. Subjek ditawarkan ialah bahasa Melayu, bahasa Inggeris, matematik dan sejarah
Program Bantuan Sekolah Selangor
- tambah baik infrastruktur sekolah kerajaan dan swasta dengan bantuan sehingga RM50,000. Antara kerja baik pulih kantin, surau, bilik guru, perpustakaan, longkang atau mengecat bangunan sekolah
Hadiah Pengajian IPT
- wang tunai RM1,000 jika berjaya lanjut pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT)
Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor
- tanggungan sepenuhnya yuran pengajian selama enam bulan beserta elaun RM300 sebulan
Yuran Pengajian IPTA/IPTS (India B40)
- bantu komuniti India dapat pendidikan yang baik khususnya dalam bidang teknikal