Categories
AGENDA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Sistem pintar Inisiatif Peduli Rakyat mudahkan rakyat buat permohonan, semakan

SHAH ALAM, 1 DIS: Sistem Smart Inisiatif Peduli Rakyat (SSIPR) yang dibangunkan Kerajaan Negeri memudahkan rakyat melakukan proses permohonan dan semakan Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) secara dalam talian, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sistem itu menjadi platform untuk rakyat menikmati 33 manfaat IPR disediakan Kerajaan Negeri.

“SSIPR merupakan gerbang berasaskan konsep pusat sehenti bagi memudahkan rakyat melaksanakan urusan pendaftaran, permohonan dan semakan dalam talian bagi inisiatif IPR.

“Bagi tujuan pendaftaran dan semakan kelayakan, maklumat pemohon yang direkod dan disimpan SSIPR hanya yang asas seperti jantina, bangsa, alamat, pendapatan, pekerjaan serta status perkahwinan,” katanya dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin adakah SSIPR mencatat maklumat penting penerima bantuan oleh Jabatan Jabatan Agama Islam dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Amirudin berkata, setiap wakil Ahli Dewan Negeri (ADN) juga hanya boleh meneliti data pemohon IPR di kawasan masing-masing tertakluk lima skim yang memerlukan pengesahan pejabat wakil rakyat.

Katanya, skim itu meliputi program Jom Shopping Perayaan, Kasih Ibu Smart Selangor, Program Tuisyen Rakyat Selangor, Program Bantuan Sekolah Selangor dan Skim Ceria.

Amirudin menambah Kerajaan Negeri melaksanakan sesi Transfer of Technology (ToT) bersama pihak vendor dan wakil pejabat ADN bagi memberi tunjuk ajar berkaitan penggunaan pengesahan permohonan lima skim IPR pada Januari lalu.

“Sesi ini dimaklumkan bahawa SSIPR boleh memaparkan maklumat pemohon di bawah kawasan Dewan Undangan Negeri masing-masing. Satu manual pengguna turut disertakan dalam SSIPR untuk rujukan lanjut,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Kekayaan untuk rakyat, jutaan dapat manfaat lebih sedekad

SHAH ALAM, 29 OKT: Sejak 2008, Kerajaan Selangor telah melaksana satu agenda besar untuk berkongsi hasil mahsul negeri terkaya di negara ini dengan rakyatnya.

Agenda itu pada mulanya dikenali Merakyatkan Ekonomi Selangor, berevolusi menjadi Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) dan kini sebagai Sistem Smart Inisiatif Peduli Rakyat (SSIPR).

Bermula dengan tujuh inisiatif, agenda itu bertambah kepada 33 inisiatif sekali gus berjaya
memanfaatkan jutaan rakyat Selangor selama 13 tahun.

Untuk maklumat lanjut, pendaftaran dan semakan, boleh layari laman sesawang
ssipr.selangor.gov.my

Wartawan NADIAH ZAMLUS menyenaraikan inisiatif SSIPR yang menjadi tulang belakang negeri dalam usaha mendahulukan rakyat.

KEBAJIKAN

Kasih Ibu Smart Selangor (KISS)

  • RM200 sebulan selama setahun untuk ibu kumpulan B40 membeli keperluan asas. Khusus untuk wanita berkahwin atau ibu tunggal, pendapatan bulanan bawah RM2,000

WiFi Smart Selangor

  • internet percuma di 3,600 akses meliputi rumah kos rendah dan sederhana, pusat pendidikan, kesihatan, keagamaan, agensi dan syarikat Kerajaan Negeri

Skim Air Darul Ehsan

  • 20 meter padu air percuma kepada golongan sasar iaitu pendapatan RM4,000 ke bawah dan premis kediaman adalah meter individu

    Air Selangor membuat hebahan menyeru penduduk negeri ini memohon Skim Air Darul Ehsan bagi mendapatkan air percuma. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Bas Smart Selangor

  • percuma kepada warganegara; warga asing dikenakan caj RM1

Bantuan Kebajikan Masyarakat

  • bantuan sementara RM350 untuk rakyat berhadapan masalah hidup

Pengecualian Cukai Pintu Rumah Kampung

  • rumah kos rendah dan kediaman kampung dikecualikan cukai pintu

Pengecualian Fi Lesen Penjaja

  • pengecualian bayaran fi lesen bagi lesen gerai, pasar dan kios majlis, juga lesen pondok bas, penjaja, pasar malam, pagi dan pasar swasta

    Orang ramai membeli makanan di gerai penjaja Kampung Selayang Indah, Gombak pada 21 September 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Bantuan Bina dan Baiki Rumah

  • bantuan bina dan baiki kediaman. Pendapatan tidak lebih RM1,500

Jom Shopping Perayaan

  • baucar beli belah untuk isi rumah
  • pendapatan RM1,500 ke bawah
  • sempena Aidilfitri, Tahun Baharu Cina atau Deepavali

KESIHATAN

Skim Insurans Peduli Sihat

  • kemudahan insurans asas perlindungan kematian, penyakit kronik dan hilang upaya kekal. Pemohon berdaftar sebagai penerima Bantuan Sara Hidup di bawah kategori pendapatan bawah RM2,000

    Skim Insurans Peduli Sihat menawarkan kemudahan insurans asas perlindungan kematian, penyakit kronik dan hilang upaya kekal. Foto ARKIB SELANGORKINI

Bantuan Sihat Selangor

  • rawatan dialisis buah pinggang, pembedahan kecil, katarak mata, kaki palsu serta bantuan peralatan kesihatan. Pendapatan tidak lebih RM3,000

Skim Kesihatan Wanita

  • pemeriksaan mammogram percuma untuk wanita 35 tahun ke atas yang menetap di Selangor sekurang-kurangnya 10 tahun

KEKELUARGAAN

Skim Asuh Pintar

  • RM100 bantuan yuran taska atau nurseri untuk anak usia empat tahun ke bawah. Terhad kepada dua anak setiap keluarga dan pendapatan isi rumah bawah RM5,000

Skim Mesra Usia Emas

  • khusus kepada penduduk berusia 60 tahun ke atas, dapat khairat kematian RM500, waris perlu daftar dengan Yayasan Warisan Anak Selangor

Skim Bantuan Tadika

  • RM50 setiap bulan kepada ibu bapa yang hantar anak ke tadika berdaftar dengan Majlis Permuafakatan Tadika Selangor. Untuk anak berumur lima atau enam tahun sahaja dan pendapatan keluarga RM3,000 ke bawah

Perpustakaan Bergerak Smart Selangor

  • kemudahan bacaan untuk pelajar di perumahan kos rendah bagi memupuk budaya membaca

Tabung Warisan Anak Selangor

  • program khas untuk anak berusia tiga tahun ke bawah. Setiap ahli akan terima RM1,500 apabila berusia 18 tahun

    Tabung Warisan Anak Selangor khusus untuk anak berusia tiga tahun ke bawah dengan setiap ahli menerima RM1,500 apabila berusia 18 tahun. Foto ARKIB SELANGORKINI

Insentif Generasi Muda Selangor (GEMS)

  • kursus khas untuk mereka berkeluarga beserta pemberian wang insentif. Pasangan berusia 40 tahun ke bawah dan tinggal di Selangor lebih 10 tahun

PERUMAHAN

Skim Rumah Selangorku

  • boleh mohon rumah bernilai tak lebih RM250,000. Untuk rumah jenis A pendapatan sebulan tak lebih RM3,000 sementara rumah jenis B,C dan D pendapatan antara RM3,001 hingga RM10,000

Skim Dana Sel

  • bantu golongan pendapatan rendah tidak layak atau gagal dapat pinjaman beli rumah daripada bank

    Tinjauan Rumah Selangorku di Taman Bukit Raya, Bukit Beruntung, Hulu Selangor pada 10 April 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Skim Ceria

  • baik pulih kerosakan rumah kos sederhana rendah di negeri ini dan bantu badan pengurusan bersama (JMB) urus kerja sivil, selenggara lif. Antara kerja baik pulih termasuk bagi taman permainan, tebang pokok, tiang lampu, jalan dan tempat letak kereta

Skim Smart Sewa

  • sewa rumah yang hendak dibeli dengan kadar RM600 hingga RM650 sebulan. Pendapatan tidak lebih RM5,000 untuk rumah jenis A atau kos rendah. Bagi rumah jenis B,C dan D pendapatan tidak lebih RM10,000

PEKERJAAN DAN PERNIAGAAN

Latihan Usahawan IT (SIDEC)

  • terbuka kepada usahawan yang ingin berniaga secara dalam talian

Dana Usahawan Mikro

  • bantu usahawan mikro yang beroperasi sudah lebih dua tahun, antara ditawarkan ialah daftar produk, pengujian produk atau proses mendapatkan sijil halal

Bantuan Blueprint

  • bantuan peralatan niaga untuk tingkatkan pendapatan golongan kurang mampu. Golongan sasar dalam sektor jahitan, perniagaan makanan dan kraftangan
  • Syaratnya perniagaan sudah setahun dan pendapatan isi rumah tidak lebih RM3,000 atau pendapatan sendiri tidak lebih RM1,500

    Pengusaha kendera saji Suhartini Mohamad Robangi bersama kenderaan yang diterima di Wisma Kohijrah, Shah Alam pada 10 Disember 2020. Foto HAFIZ OTHMAN

Skim Hijrah

  • sediakan modal yang mudah dan cepat untuk penjaja dan peniaga kecil untuk mereka berusia 18 hingga 60 tahun dan miliki premis niaga, ada lesen atau permit niaga sah

PENDIDIKAN

Program Khas Peduli Siswa

  • pinjaman tanpa faedah RM4,900 hingga RM7,000 setahun untuk diploma, ijazah sarjana muda dan ijazah perubatan untuk mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia atau Universiti Kebangsaan Malaysia atau Universiti Putra Malaysia atau Universiti Teknologi Mara

Program Tuisyen Rakyat Selangor

  • kelas tambahan untuk pelajar berpendapatan RM2,000 ke bawah. Subjek ditawarkan ialah bahasa Melayu, bahasa Inggeris, matematik dan sejarah

    Niel Shofia Fitrah Abdul Muthalib, 18, mempelajari teknik dan kaedah menjawab soalan peperiksaan melalui portal Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) sebagai persediaan menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 ketika tinjauan pada 5 Februari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Program Bantuan Sekolah Selangor

  • tambah baik infrastruktur sekolah kerajaan dan swasta dengan bantuan sehingga RM50,000. Antara kerja baik pulih kantin, surau, bilik guru, perpustakaan, longkang atau mengecat bangunan sekolah

Hadiah Pengajian IPT

  • wang tunai RM1,000 jika berjaya lanjut pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT)

Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor

  • tanggungan sepenuhnya yuran pengajian selama enam bulan beserta elaun RM300 sebulan

Yuran Pengajian IPTA/IPTS (India B40)

  • bantu komuniti India dapat pendidikan yang baik khususnya dalam bidang teknikal

 

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Bantuan di hujung jari, 33 inisiatif buat rakyat sejak 2008

SHAH ALAM, 28 OKT: Hanya klik ssipr.selangor.gov.my warga Selangor boleh menikmati hasil kekayaan negeri yang diagih menerusi Inisiatif Peduli Rakyat (IPR).

Tanpa perlu hadir ke mana-mana pejabat, seseorang hanya perlu mendaftar dalam talian untuk memohon bantuan dan mengetahui serta-merta maklumat manfaat yang layak.

Menerusi IPR, tiada peringkat umur, jantina atau kaum terpinggir, dari bayi hingga warga emas, semuanya dibela. Syaratnya, mendaftar dalam Sistem Smart Inisiatif Peduli Rakyat atau SSIPR selain ada kemudahan e-mel.

SSIPR dibangunkan bagi menguruskan data pengguna program IPR sebagai pusat sehenti. Tujuannya membantu penduduk terutama golongan berpendapatan rendah memenuhi keperluan dan sara hidup yang semakin mencabar.

SSIPR juga direka dengan bentuk portal untuk memudahkan proses pendaftaran dan semakan permohonan.

Maklumat semua program IPR disimpan dalam data berpusat dan sedia dianalisis sebagai data raya secara masa nyata seterusnya memudahkan proses mengenal pasti kumpulan sasaran.

Pendekatan sedemikian memudahkan Kerajaan Negeri untuk membantu golongan memerlukan pada masa depan berikutan data disimpan secara sistematik.

Kakitangan pejabat DUN Batu Tiga menunjukkan kad khas kesihatan dan pengisian minyak “Shah Alam N41” pada Program Pendaftaran Inisiatif Peduli Rakyat di Dewan Meranti, Shah Alam pada 1 Februari 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Menerusi SSIPR, mana-mana rakyat yang berminat untuk memohon bantuan juga boleh menyemak syarat-syarat kelayakan melalui menu Inisiatif Peduli Rakyat.

Semua peringkat layak memperoleh hingga 33 manfaat merangkumi enam kluster membabitkan kebajikan, kekeluargaan, kesihatan, pendidikan, perumahan dan pekerjaan dan perniagaan.

Maklumat penerima manfaat juga selamat disimpan di SSIPR mengikut undang-undang negara. Pemohon juga boleh mengemas kini maklumat bila-bila masa tanpa mengira lokasi.

SSIPR turut menyediakan kemudahan untuk pemohon memuat naik dokumen sokongan, bergantung kepada keperluan sesebuah skim tersebut.

Agihan bersepadu

Kerajaan Negeri sejak 13 tahun lalu berazam mengangkat kebajikan rakyat menerusi pengagihan semula hasil negeri kepada rakyat.

Sehingga kini, sebanyak 33 inisiatif dijayakan dengan jumlah kekayaan negeri melebihi RM1.8 bilion dikongsi bersama warga Selangor.

Seiring perkembangan internet, SSIPR mengaplikasi teknologi berkenaan demi memastikan seluruh rakyat terus dibantu secara berkesan.

Melaluinya, hasil kekayaan negeri diagih melalui pelbagai skim bantuan khusus untuk penduduk negeri secara bersepadu dan lebih teratur.

Inisiatif yang kerap mendapat perhatian ramai antaranya Kasih Ibu Smart Selangor (KISS), sebuah program kebajikan khusus bagi golongan berpendapatan rendah (B40).

Mereka yang layak berpeluang membeli barangan keperluan asas sehingga RM200 sebulan di kedai yang mendaftar secara tanpa tunai.

Salah seorang penerima bantuan Kasih Ibu Smart Selangor (Kiss). Foto ARKIB SELANGORKINI

Bagi mewujudkan Selangor yang selamat, sihat dan sejahtera, Skim Insurans Peduli Sihat (SiPS) ada diperkenal bagi memberi manfaat kepada 85,000 penerima polisi insurans.

Menerusi skim tersebut, pemegang polisi layak mendapat rawatan kesihatan asas setiap tahun dan perlindungan insurans asas meliputi kematian, kemalangan dan penyakit kritikal.

Bagi memastikan pelajar yang memperoleh keputusan sederhana tidak ketinggalan dari arus pembelajaran, bantuan pendidikan berbentuk kelas tambahan turut dilaksana.

Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) yang menawarkan empat mata pelajaran iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris, matematik dan sejarah terbuka kepada keluarga berpendapatan RM2,000 ke bawah.

Bagi penuntut institusi pengajian tinggi pula, pinjaman tanpa faedah menerusi Program Peduli Siswa diwujudkan untuk mereka yang mengikuti pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Kadar pinjaman bermula RM4,900 hingga RM7,000 setahun disediakan sehingga mereka menamatkan pengajian.

Dalam menghargai warga emas, Skim Mesra Usia Emas (SMUE) diperkenal melalui pemberian manfaat masa hidup sebanyak RM100 setahun dalam bentuk program Jom Shopping.

Bagi memastikan rakyat mempunyai kediaman, Kerajaan Selangor menerusi Skim Rumah Selangorku membantu mereka seawal usia 18 tahun untuk memiliki rumah sendiri.

Ringan beban

Dalam skim berkenaan, warga Selangor yang layak boleh memohon untuk memiliki premis sendiri bernilai tidak lebih RM250,000.

Situasi pandemik Covid-19 pastinya menjejaskan pendapatan peniaga kecil. Namun, Skim Hijrah Selangor sedia membantu meringankan beban mereka.

Melalui pelaksanaan sistem penyaluran modal tambahan yang berkesan, skim ini cepat dan tidak membebankan peniaga kecil yang sering menghadapi masalah kekurangan modal.

Penerima memilih barangan keperluan harian ketika Program Jom Shopping Skim Mesra Warga Emas DUN Selat Klang di Econmart Sungai Bertih Jalan Yadi pada 30 September 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Ketika sambutan perayaan, riak keceriaan pasti terpancar buat warga Selangor. Tidak kira Aidilfitri, Tahun Baru Cina atau Deepavali, mereka yang berpendapatan RM1,500 ke bawah layak memohon Pemberian Bantuan Baucar untuk membeli keperluan perayaan.

Pengguna pengangkutan awam juga tidak ketinggalan menerima manfaat apabila perkhidmatan percuma Bas Smart Selangor disediakan 11 pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menerusi 41 laluan seluruh negeri, perkhidmatan tersebut beroperasi dari jam 6 pagi hingga 9 malam.

Beban kehidupan rakyat terus diringankan Kerajaan Selangor berikutan penjajaran semula Progam Pemberian Air Percuma diluluskan pada 23 November 2018.Menerusi Skim Air Darul Ehsan, 20 meter padu air percuma untuk golongan berpendapatan bulanan isi rumah RM4,000 dan ke bawah.

Program-program ini telah me-nyumbang terus kepada sebahagian besar rakyat Selangor. SSIPR telah mempergiat lagi liputan IPR supaya lebih banyak kekayaan dan hasil negeri dapat dikongsi bersama penduduk.

Ia selaras matlamat pentadbiran negeri masa kini untuk memastikan Selangor menjadi negeri idaman. Kebajikan rakyat tetap diutamakan di samping kualiti hidup dipertingkat agar rakyat hidup sejahtera.

 

Categories
EXCO SELANGOR

Sistem kumpul data penduduk miskin siap November ini

SHAH ALAM, 13 JULAI: Aplikasi pintar yang mengumpulkan data penduduk miskin di Selangor dijangka siap sepenuhnya menjelang November ini.

EXCO pembangunan sosio ekonomi, V Ganabatirau berkata Sistem Smart Inisiatif Peduli Rakyat (SSIPR) akan mengumpulkan maklumat pendapatan individu dan isi rumah serta inisiatif dari Kerajaan Negeri.

“Pada masa sama, sistem ini juga akan mengumpulkan kesemua 33 program di bawah Inisiatif Peduli Rakyat sekali gus memudahkan rakyat mendapat maklumat inisiatif yang layak dimohon,” katanya ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Negeri Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin pada sidang Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Beliau menambah Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan membantu 4,506 penduduk miskin, sementara Program Pemberian Bantuan Baucer Perayaan berjaya membantu 609,632 golongan kurang mampu di negeri ini.