Categories
EXCO SELANGOR

Selangor belanja RM2.8 juta bantu petani depani pandemik

SHAH ALAM, 4 OKT: Sebanyak RM2.8 juta dibelanjakan Kerajaan Selangor bagi terus membantu petani negeri ini yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

EXCO Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Ir Izham Hashim berkata peruntukan tersebut turut diagihkan kepada nelayan dan penternak yang terjejas.

“Bantuan kepada mereka sentiasa berterusan dan terbaharu sebanyak RM2.8 juta merangkumi makanan ternakan kepada penternak, subsidi petrol untuk nelayan dan petani menerima baja kompos,” katanya.

Beliau ditemui selepas meninjau kerja menaik taraf jalan Kampung Lombong di sini hari ini.

Pada 9 Jun, Kerajaan Selangor memperuntuk lebih RM13 juta bagi membantu petani dan penternak yang terkesan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Inisiatif sebahagian Pakej Kita Selangor 2.0 merangkumi RM10 juta untuk program jaminan bekalan makanan, Program Agro Prihatin (RM1.5 juta) dan program peningkatan hasil (RM1.93 juta).