Categories
AGENSI SELANGOR

Team Selangor agih 600 pek makanan ke enam DUN hari ini

KUALA SELANGOR, 24 OKT: Sebanyak 600 bakul makanan akan diedar oleh Sukarelawan Team Selangor kepada isi rumah yang terkesan Covid-19 di enam Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Ketua sekretariat Syahaizel Keman berkata enam DUN berkenaan ialah Ijok, Jeram, Permatang, Sungai Panjang, Sekinchan dan Bukit Melawati.

“Bakul makanan itu mengandungi bahan keperluan asas seperti beras, gula, tepung dan pelbagai lagi.

“Setakat ini sebanyak 1,100 bakul makanan telah diagih dengan 500 bakul makanan diedar pada September lalu dan 600 lagi diedar pada hari ini,” katanya.

ADN Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli melihat barangan keperluan asas makanan ketika melancarkan Bakul Makanan Team Selangor sempena Program Let’s Ride & Help (LetsGo) di Dataran Malawati, Kuala Selangor pada 24 Oktober 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Let’s Ride and Help (LetsGO) di Dataran Malawati di sini, hari ini.

Turut diadakan adalah gimik pelancaran pengagihan bakul makanan berkenaan oleh wakil rakyat Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli.

Dalam ucapannya, Juwairiya berharap agar bantuan diberikan dapat mengurangkan beban rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Mengenai program Let’s Ride and Help (LetsGO), seramai 200 penunggang motosikal sekitar Bukit Melawati menerima manfaat penyelengaraan secara percuma.

Program anjuran bersama Boon Siew Honda Sdn Bhd itu menawarkan khidmat penukaran minyak pelincir, palam pencucuh, gegancu dan bateri motosikal.