Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

1,000 peniaga PKS terima geran negeri bantu beralih kepada digital

SHAH ALAM, 5 NOV: Lebih 1,000 peniaga mendapat manfaat daripada dana Geran Padanan Digitalisasi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk membantunya beralih dari konsep fizikal ke digital.

EXCO Industri Kecil dan Sederhana Dato’ Teng Chang Khim berkata dana RM5 juta berkenaan menerima permohonan tinggi daripada syarikat untuk menaik taraf operasi mereka sesuai peredaran masa.

“Sambutan diterima amat mengalakkan apabila Selangor melangkah ke fasa empat Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya di sini, semalam.

Geran tersebut dilancarkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada 12 April lalu untuk membantu PKS melakukan transformasi digital.

Sebanyak RM5 juta diperuntuk bagi manfaat 1,000 peniaga kecil dengan jumlah bantuan antara RM1,000 hingga RM5,000.

Lima bidang pendigitalan yang ditawarkan ialah e-dagang, sistem sumber manusia, sistem akaun, pemasaran digital dan sistem Electronic Point of Sale (e-PoS) dan gerbang pembayaran.